Categories
Sajak

Seloka Santap Istiadat

Seloka Santap Istiadat: Maksud Rangkap, Persoalan, Gaya bahasa, Unsur Bunyi, Bentuk, Nilai dan Pengajaran

Maksud
Rangkap 1
Santap beradat merupakan istiadat santap raja di majlis kebesaran. Santap tersebut bertujuan untuk meraikan dan menghormati tetamu. Majlis santapan ini bukanlah sekadar untuk mengenyangkan perut tetapi merupakan majlis santapan yang mengajar si penjamu selera agar makan secara sopan dan mengikut tatacara yang tepat.

Rangkap 2
Berdasarkan tatacara dan ketertiban sewaktu makan, nasi hendaklah disuap menggunakan tangan kanan manakala lauk perlulah diangkat secara sopan. Ketika nasi sampai ke mulut hendaklah dikunyah dengan perlahan-lahan sebagai tanda tertib dan tidak gelojoh sewaktu makan. Setelah selesai makan nasi barulah diambil seteguk air minuman sebagai isyarat hormat dan beradab sopan ketika berada dalam majlis santapan itu.

Rangkap 3
Dalam aturan dan cara-cara makan dan minum, suapan nasinya bermula daripada suapan pertama hingga ketiga sahaja. Selepas itu, si penjamu selera perlu membasuh tangan, sebelum diikuti dengan menjamah juadah halwa dan memakan buah-buahan.

Rangkap 4
Cara-cara makan dan minum yang berikutnya ialah ketujuhnya, orang yang menjamu selera perlu berkumur-kumur untuk membersihkan mulut dan diakhiri dengan memakan sirih. Air sirih kelat yang masuk ke kerongkong si penjamu selera akan menambahkan seri pada wajah mereka.

Rangkap 5
Tatacara dan peraturan santapan ini merupakan majlis santap beradat kebesaran yang diajarkan oleh generasi terdahulu.

Tema dan Persoalan
Tema

Ajaran beradab sopan dan tatacara makan dan minum di dalam majlis mengikut tertib berpandukan didikan generasi terdahulu.

Persoalan
(a) Adab sopan dan tertib ketika menjamu selera dalam sesuatu majlis.
(b) Cara-cara menjamu selera dalam sesuatu majlis.
(c) Masyarakat Melayu yang mengutamakan nilai kesopanan ketika makan dan minum.
(d) Kepentingan beradab sopan dan tertib ketika menjamu selera.

Bentuk dan Ciri-ciri Seloka
(a) Terdiri daripada lima rangkap.
(b) Rangkap pertama mempunyai lima baris, rangkap kedua mempunyai tujuh baris, rangkap ketiga mempunyai enam baris, rangkap keempat mempunyai empat baris, dan rangkap kelima mempunyai dua baris.
(c) Bilangan katanya dua hingga enam patah kata.
(d) Terdiri daripada tujuh hingga empat belas suku kata.
(e) Berbentuk bebas.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Anafora. Contohnya, Santap beradat, santap istiadat, Santap raja di majlis kebesaran, Santap merai, hormat-menghormat;
(b) Repetisi. Contohnya, Santap beradat, santap istiadat.
(c) Bahasa klasik. Contohnya, peroman.
(d) Kata ganda. Contohnya, hormat-menghormat, mulia-memuliakan, buah-buahan dan berkumur-kumur.
(e) Personifikasi. Contohnya, Kelat jatuh ke rengkungan.
(f) Asonansi. Contohnya, Ketujuh berkumur-kumur (perulangan vokal u).
(g) Aliterasi. Contohnya, Isyarat menghormat, mulia-memuliakan. (perulangan konsonan m).
(h) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abacb, rima akhir bagi rangkap kedua ialah aaaabaa, rima akhir bagi rangkap ketiga ialah aabcbc, rima akhir bagi rangkap keempat ialah abcc dan rima akhir bagi rangkap kelima ialah ab.

Nilai dan Pengajaran
Nilai

(a) Kesopanan.
(b) Kepatuhan.
(c) Hormat-menghormati.
(d) Kesederhanaan.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah bersikap sopan dan beradab ketika sedang menjamu selera.
(b) Kita mestilah hormat-menghormati antara satu dengan yang lain ketika sedang menjamu selera di dalam sesuatu majlis.
(c) Kita hendaklah mengikut peraturan ketika makan dengan mendahului perkara yang utama kemudian diikuti dengan perkara-perkara yang berikutnya.
(d) Kita mestilah bersederhana ketika makan dengan tidak mengambil makanan secara berlebihan.

Seloka Santap Istiadat: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 3