Categories
Sajak

Sajak Kuingin Berterima Kasih

Sajak Kuingin berterima kasih tingkatan 1

Sajak Kuingin Berterima Kasih: Maksud Rangkap, Persoalan, Gaya bahasa, Unsur Bunyi, Bentuk, Nilai dan Pengajaran

Maksud Sajak
Rangkap 1
Penyajak berterima kasih kepada hujan yang turun membasahi bumi.
Kehadiran hujan menyejukkan suasana dan jiwa manusia. Kedinginan yang dibawa mampu meredakan api kemarahan.

Rangkap 2
Penyajak juga ingin berterima kasih dan berbakti kepada tanah yang
subur. Tanah yang subur telah memberikan rezeki dan pendapatan kepada para petani.

Rangkap 3
Penyajak juga ingin berterima kasih kepada ikan-ikan di laut kerana
memberikan rezeki kepada nelayan.

Rangkap 4
Penyajak juga berasa amat kagum atas pengorbanan para perajurit
yang telah banyak berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan
tanah air daripada ancaman musuh. Pengorbanan mereka itu mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seorang rakyat
terhadap tanah air.

Rangkap 5
Kadangkala penyajak teringin untuk menjadi sukarelawan yang dapat mengubati kedukaan dan penderitaan mangsa peperangan. Penyajak juga berharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia betapa peperangan hanya akan menimbulkan lebih banyak kehancuran dan penderitaan.

Rangkap 6
Penyajak berpendapat bahawa dunia akan lebih aman dan damai jika
semua pihak dapat berfikir secara waras dan bersama-sama berganding bahu menuju kejayaan dan keamanan sejagat.

Tema dan Persoalan
Tema

Manusia yang bersyukur atas nikmat yang diterima menjadi tema
kepada sajak “Kuingin Berterima Kasih” karya Ihsan Norzali. Jika semua manusia mengamalkan nilai kesyukuran, dunia akan menjadi sebuah tempat yang aman untuk didiami oleh manusia.

Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam puisi ini, antaranya:

Persoalan kepentingan hujan kepada hidupan
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa hujan yang turun mampu menyejukkan suasana dan jiwa manusia.

Persoalan kepentingan berbakti kepada tanah
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa petani yang rajin bercucuk tanam akan memperoleh hasil yang lumayan.

Persoalan penghargaan kepada perwira negara
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa dia berasa kagum akan semangat patriotisme yang dimiliki oleh perwira negara dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Persoalan kesedaran untuk mengekalkan keamanan dunia
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa dunia akan menjadi tempat yang indah apabila semua orang menyedari kepentingan hidup bersama-sama dengan aman.

Gaya Bahasa, Unsur Bunyi dan Bentuk
Bentuk
 Sajak ini berbentuk bebas.
 Terdiri daripada tujuh hingga lima belas suku kata.
 Sajak ini terdiri daripada enam rangkap.
 Terdapat tiga hingga lima baris setiap rangkap.
 Terdapat dua hingga lima patah kata sebaris.

Gaya Bahasa dan Unsur Bunyi
 Simile – kepadamu hujan bagai tetamu
 Anafora – sesekali kuingin…
 Sinkope – sesekali kuingin berterima kasih
 Imej alam – hujan; ikan; samudera
 Personifikasi – kepadamu tanah yang hidup; di taman-taman keresahan hidup
 Hiperbola – api amarah pun terpadam
 Metafora – darah kesetiaan
 Penggunaan bahasa sanskrit – amarah; belantara; samudera
 Asonansi – kepadamu hujan bagai tetamu (pengulangan vokal a)
 Aliterasi – kerana tanganmu pernah berdarah (pengulangan konsonan n)

Nilai dan Pengajaran
Nilai

Berterima kasih; patriotisme; rasional; keinsafan

Pengajaran
 Kita hendaklah menghargai alam yang banyak memberikan rahmat kepada kehidupan manusia.
 Kita hendaklah mengucapkan terima kasih kepada pejuang negara yang berkorban mempertahankan tanah air.
 Kita hendaklah bersimpati kepada golongan yang susah supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.
 Kita hendaklah memiliki semangat patriotisme dan sentiasa bersedia utnuk mempertahankan negara.

Sajak Kuingin Berterima Kasih: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 1