Categories
Novel KSSM

Novel Tawanan Komander Caucasus

tawanan komander caucasus

Novel Tawanan Komander Caucasus: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis
Farhani dan rakan-rakannya dalam usaha mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat setelah menjadi tawanan tentera kumbang. Cerita bermula apabila warga Sekolah Menengah Seri Kencana dan penduduk kampung dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang keluar mencari kumbang di pinggir hutan di kampungnya. Pelbagai spekulasi tentang kehilangan Kim Yong telah dibuat. Sebagai rakan sekelas, Farhani, Chea Mei, Mira, Haikal, Devnath dan Wei turut bersimpati dan bersedih atas kehilangan Kim Yong. Mereka bersepakat menziarahi Puan Lee, ibu Kim Yong yang begitu sedih atas kehilangan anak tunggalnya itu.

Setelah sebulan berita kehilangan Kim Yong berlalu, Cikgu Salimah selaku guru Sains Tingkatan Satu Arif di Sekolah Menengah Seri Kencana telah memberikan satu tugasan kepada murid-muridnya untuk mencari serangga bagi memastikan zoo mini serangga yang diilhamkan di sekolah mereka itu menjadi suatu kenyataan. Dalam pembahagian tugasan itu, Farhani, Chea Mei dan Mira ditugaskan untuk mencari kumbang. Sementara itu, Haikal berasa terkilan kerana Cikgu Salimah tidak memberikan tugasan mencari kumbang itu kepadanya. Oleh sebab itu, Haikal memperlekehkan kewibawaan Farhani dan rakan-rakannya untuk mencari kumbang tersebut. Farhani bertekad untuk mendapatkan kumbang tersebut.

Bagi melengkapkan tugasan yang diarahkan oleh Cikgu Salimah, Farhani, Chea Mei dan Mira telah bersetuju dan bersepakat untuk mencari kumbang di dusun datuk Farhani. Disebabkan Farhani tiba awal di dusun datuknya, dia mengisi masa menunggu kedatangan Mira dan Chea Mei dengan mencari kumbang lebih dahulu sehingga pencariannya itu telah membawanya jauh ke dalam dusun datuknya. Akhirnya, Farhani menemukan sebuah rumah lama dan masuk ke dalam rumah lama itu. Dia menemukan anak tangga yang menuruni ke ruang bawah tanah hingga membawanya ke dimensi kerajaan kumbang. Sementara itu, Mira dan Chea Mei telah tiba di dusun datuk Farhani setengah jam lewat daripada masa yang telah dijanjikan tetapi mereka tidak nampak kelibat Farhani di situ.

Chea Mei dan Mira terkejut apabila ibu Farhani, iaitu Puan Asmah memaklumkan kepada mereka bahawa Farhani telah pergi ke dusun datuknya selepas solat zohor. Ibu Farhani bersedih atas kehilangan Farhani memandangkan Farhani ialah anak bongsunya. Encik Adnan,bapa Farhani meminta isterinya bertenang dan bersabar. Peristiwa kehilangan Farhani dan Kim Yong yang dikaitkan dengan kejadian mereka keluar mencari kumbang telah menjadi perbualan masyarakat setempat dan seluruh rakyat Malaysia. Cikgu Salimah berasa bersalah atas kehilangan Farhani. Dia mengajak murid-murid di kelas Tingkatan Satu Arif menjejaki kehilangan misteri Farhani di dusun datuk Farhani. Di dalam dusun datuk Farhani, mereka telah menemukan sebuah rumah usang. Haikal telah mengajak Devnath dan Wei untuk kembali semula pada malamnya untuk menjejaki kehilangan Farhani di ruang bawah tanah di rumah usang itu setelah mereka menemukan sapu tangan milik Farhani.

Kesilapan Farhani melangkah kakinya ke alam dimensi kerajaan kumbang menyebabkan dia telah ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Dia telah dibawa oleh kumbang Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di sebuah istana. Selepas itu, Farhani juga telah dikurung di dalam sebuah tabung uji bersaiz besar di sebuah makmal rahsia Komander Caucasus yang akan menjadikannya sebagai bahan uji kaji untuk mencapai impian Komander Caucasus menakluki dunia dan menguasai manusia. Di makmal rahsia itu, Farhani telah bertemu secara tidak sengaja dengan Kim Yong yang telah dilaporkan hilang selama sebulan lebih itu.

Komander Caucasus merupakan seekor kumbang yang tamak dan gila kuasa apabila dia dan tenteranya cuba merampas takhta kerajaan kumbang dengan menggulingkan takhta Maharaja Tanduk dan giat memburu Puteri Coleoptera dan para pengikutnya yang sedang bersembunyi. Suatu ketika, suatu kejadian huru-hara telah berlaku menyebabkan Bara dan Dara Bintik yang merupakan pengikut Puteri Coleoptera bergegas menyelamatkan diri dengan membawa bersama Farhani dan Kim Yong. Di satu kawasan perkhemahan, Bara dan Dara Bintik telah membawa Farhani dan Kim Yong menghadap Puteri Coleoptera yang sangat baik dan sopan. Puteri Coleoptera memohon bantuan mereka berdua untuk menumpaskan Komander Caucasus yang kejam dan tidak berhati perut itu.

Sementara itu, ketika Haikal, Devnath dan Wei mencari jejak kehilangan Farhani di ruang bawah tanah rumah lama itu, mereka telah memasuki dimensi kerajaan kumbang sehingga mereka ditangkap oleh tentera kumbang Bara. Apabila mereka bertiga tersedar dari pengsan, mereka terkejut setelah mendapati mereka menjadi tawanan kumbang yang bersaiz besar di sebuah kawasan hutan. Mereka juga terkejut kerana telah bertemu semula dengan Farhani dan Kim Yong di situ yang berada dalam keadaan selamat. Farhani dan Kim Yong meyakinkan mereka bertiga bahawa kumbang-kumbang itu berhati baik dan merupakan sahabat mereka berdua. Sekali lagi kumbang Bara menyuarakan bantuan daripada mereka berlima untuk membantu Puteri Coleoptera dan pengikutnya menewaskan Komander Caucasus dan tenteranya.

Tiba-tiba, mereka mendapat maklumat bahawa tempat persembunyian mereka itu dapat dikesan oleh tentera Caucasus sehingga menyebabkan Puteri Coleoptera, semua pengikutnya, Farhani, dan empat orang rakannya terpaksa meninggalkan tempat itu. Setelah menempuh perjalanan yang memenatkan, akhirnya mereka tiba di tempat persembunyian baru. Lima buah khemah berjaya didirikan. Tidak lama kemudian, tempat persembunyian mereka telah diserang hendap oleh tentera Komander Caucasus setelah mendapat maklumat daripada si pembelot, Dara Bintik.

Dalam serang hendap itu, Haikal, Devnath dan Wei telah ditangkap sekali lagi dan ditawan oleh tentera Komander Caucasus bersama-sama dengan Puteri Coleoptera dan Bara. Namun dalam serangan hendap itu, Farhani dan Kim Yong berjaya menyembunyikan diri masing-masing. Maharaja Caucasus yang telah menaiki takhta kerajaan kumbang dengan cara menggulingkan Maharaja Tanduk itu berasa amat marah apabila Kim Yong dan Farhani gagal ditangkap. Maharaja Caucasus mengarahkan tenteranya segera mencari Kim Yong dan Farhani yang amat diperlukan untuk dijadikan bahan uji kaji bagi mencapai impiannya menakluki dunia dan manusia.

Pada suatu malam, Dara Merah, Farhani, Kim Yong, kunang-kunang, dan pengikut mereka telah menyusun strategi untuk menumpaskan Komander Caucasus dan tenteranya melalui penggunaan cecair Endosulfan sekali gus membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh Komander Caucasus. Akhirnya, strategi yang telah dirancang itu digunakan pada satu tengah malam. Mereka berjaya menewaskan Komander Caucasus yang kejam dan para tenteranya sekali gus berjaya membebaskan Puteri Coleoptera, Bara, Maharaja Tanduk dan tiga orang rakannya, Haikal, Wei dan Devnath yang telah dikurung itu dengan selamat. Manakala, Komander Caucasus, Dara Bintik dan para tenteranya telah dikurung.

Puteri Coleoptera telah ditabalkan sebagai pemerintah kerajaan kumbang yang baharu. Puteri Coleoptera terhutang budi atas kerjasama dan bantuan daripada Farhani dan empat orang rakannya. Sebagai tanda terima kasih, Puteri Coleoptera menghadiahkan sebuah lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak berukir cantik kepada setiap seorang. Farhani dan empat orangrakannya telah dibenarkan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing namun mereka kecewa kerana kepulangan mereka tidak dapat dilihat oleh ahli keluarga disebabkan mereka telah menjadi halimunan.

Setelah kata sepakat diambil, Farhani dan empat orang rakannya kembali ke dimensi kerajaan kumbang untuk bertemu dengan kumbang Bara. Setelah meminum serum yang diberikan oleh Bara, akhirnya mereka berjaya kembali menjadi manusia asal dan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat. Berita kepulangan mereka telah mendapat liputan yang meluas daripada syarikat media cetak dan media elektronik. Namun, mereka bersepakat untuk merahsiakan cerita sebenar mereka yang menjadi tawanan Komander Caucasus daripada kerajaan kumbang itu.

Tema
Kegigihan remaja berdepan dengan berbagai-bagai cabaran dan rintangan.

Persoalan
 Perbezaan kehidupan antara dimensi kumbang dengan dunia manusia.
 Ketamakan kuasa hingga mengancam nyawa orang lain.
 Keinginan menakluki dunia dan menguasai manusia.
 Kepatuhan dan kesetiaan pengikut terhadap ketua/ pemimpin.
 Kasih sayang ibu bapa yang mendalam terhadap anak-anak.  Tanggungjawab murid dalam menyempurnakan tugasan.
 Semangat setia kawan yang tinggi.
 Kesungguhan mempertahankan seni budaya dan warisan.
 Toleransi yang utuh antara remaja berbilang kaum.

Watak dan Perwatakan
Farhani
 Berusia 13 tahun dan merupakan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik.
 Murid Tingkatan Satu Arif dan bersekolah di Sekolah Menengah Seri Kencana.
 Bapanya bekerja sebagai renjer hutan manakala ibunya seorang suri rumah.
 Cekal dan tabah dalam mengharungi pelbagai dugaan.
 Penyayang terhadap ahli keluarga.
 Bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan oleh guru Sains.
 Bijak mengatur strategi untuk menewaskan musuh.
 Simpati akan kesusahan orang lain.
 Taat akan ibu bapa.
 Berani mengambil tindakan tanpa memikirkan keselamatan nyawa.
 Mengenang budi terhadap orang yang berjasa.
 Rajin mencari maklumat tambahan berkaitan pelbagai spesies kumbang yang akan dicarinya.
 Pandai menyimpan rahsia.
 Mengamalkan semangat bekerjasama.
 Prihatin terhadap rakan sekelas.

Komander Caucasus
 Ketua tentera kerajaan kumbang dan kumbang kepercayaan Maharaja Tanduk.
 Berasal daripada kumbang spesies Chalcosoma Caucasus, iaitu mempunyai sesungut yang panjang dan berketinggian satu setengah meter.
 Mempunyai pengikut setia yang terdiri daripada tentera kumbang daripada spesies yang sama.
 Berpandangan jauh dan bercita-cita besar untuk menakluki dunia dan manusia.
 Kejam dan zalim apabila berusaha menjadikan Kim Yong dan Farhani sebagai ‘tikus makmal’.
 Tamak akan kuasa apabila bertindak merampas takhta kerajaan kumbang daripada Maharaja Tanduk.
 Berpendirian tegas dalam membuat keputusan.
 Pendendam terhadap manusia yang dianggap sebagai makhluk pembunuh kepada kaumnya.

Kim Yong
 Anak tunggal kepada Puan Lee. Bapa kandungnya telah meninggal dunia.
 Mempunyai seorang bapa tiri yang garang, iaitu Encik Kwok.
 Pewaris tunggal kekayaan milik bapanya yang merupakan seorang hartawan.
 Rakan sekelas Farhani di Tingkatan Satu Arif.
 Ego, angkuh, dan enggan bergaul dengan rakan-rakan sekelasnya.
 Meminati serangga spesies kumbang.
 Berhemah tinggi apabila dia mengucapkan terima kasih kepada Farhani.
 Sedar akan kesilapan apabila dia memohon maaf daripada Farhani.
 Mengamalkan semangat bekerjasama untuk menewaskan Komander Caucasus.

Puteri Coleoptera
 Anak saudara Maharaja Tanduk dan merupakan pewaris takhta koloni kumbang selepas ayahandanya mangkat.
 Merupakan seekor kumbang betina spesies Chrysomelidae yang memiliki cangkerang yang amat cantik berwarna kehijauan, berkilat dan bersesungut panjang.
 Bertatatertib dan sopan.
 Murah dengan senyuman apabila berbicara dengan Farhani walaupun baru pertama kali mereka bertemu.
 Baik hati, iaitu Puteri Coleoptera mempelawa Farhani dan Kim Yong menjamu selera bersama-samanya.
 Mengenang budi, iaitu menghadiahi Farhani dan rakan-rakannya lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak yang berukir cantik.
 Bijak bertindak apabila sentiasa berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan tempat tinggalnya dikesan oleh tentera Caucasus dan Komander Caucasus yang sedang giat memburunya.
 Bersikap jujur dan berterus-terang, iaitu meluahkan rasa kesalnya tentang sikap tamak dan gila kuasa Komander Caucasus yang bercita-cita besar untuk menakluki dunia dan menguasai manusia.

Plot
Binaan Plot

Permulaan
Warga Sekolah Menengah Seri Kencana dan penduduk kampung dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang keluar mencari kumbang di pinggir hutan di kampungnya. Pelbagai spekulasi tentang kehilangan Kim Yong telah dibuat. Farhani dan rakan-rakannya turut bersimpati dan bersedih atas kehilangan Kim Yong.

Perkembangan
Farhani, Chea Mei dan Mira telah bersepakat untuk mencari kumbang di dusun datuk Farhani. Disebabkan Farhani tiba awal di dusun datuknya, dia mengisi masa menunggu kedatangan rakannya dengan mencari kumbang terlebih dahulu sehingga membawanya jauh ke dalam dusun datuknya. Di dusun itu dia menemukan sebuah rumah usang. Farhani memasuki rumah usang itu. Dia menemukan anak tangga yang menuruni ke ruang bawah tanah hingga membawanya ke dimensi kerajaan kumbang.

Perumitan
Ibu Farhani bersedih atas kehilangan Farhani. Peristiwa kehilangan Farhani dan Kim Yong yang dikaitkan dengan kejadian mereka keluar mencari kumbang telah menjadi perbualan masyarakat setempat dan seluruh rakyat Malaysia. Cikgu Salimah berasa bersalah atas kehilangan Farhani. Dia mengajak murid-muridnya menjejaki kehilangan misteri Farhani di dusun datuk Farhani. Di dusun datuk Farhani, mereka telah menemukan sebuah rumah usang. Haikal, Devnath, dan Wei telah bertekad untuk kembali semula ke rumah usang itu pada malamnya untuk menjejaki kehilangan Farhani di ruang bawah tanah di rumah usang itu setelah mereka menemukan sapu tangan milik Farhani di situ. Sementara itu, Farhani yang tersilap melangkah ke alam dimensi kumbang telah ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Dia dibawa oleh kumbang Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di sebuah istana. Selepas itu, Farhani telah dikurung di dalam tabung uji di sebuah makmal rahsia yang akhirnya menemukannya dengan Kim Yong. Komander Caucasus dan tenteranya berniat jahat dengan cuba merampas takhta kerajaan kumbang daripada Maharaja Tanduk. Dia mengarahkan tenteranya untuk memburu, menangkap dan membunuh Puteri Coleoptera dan para pengikutnya. Hal ini menyebabkan Puteri Coleoptera dan pengikut setianya terpaksa berpindah-randah untuk mengelakkan diri mereka menjadi mangsa kekejaman Komander Caucasus. Puteri Coleoptera memohon bantuan mereka berdua untuk menumpaskan Komander Caucasus yang kejam dan tidak berhati perut itu. Sementara itu, Haikal, Devnath dan, Wei telah memasuki dimensi kerajaan kumbang menyebabkan mereka ditangkap oleh tentera kumbang Bara.

Klimaks
Haikal, Devnath, dan Wei telah ditangkap sekali lagi dan ditawan oleh tentera Komander Caucasus bersama-sama dengan Puteri Coleoptera dan Bara, tetapi Farhani dan Kim Yong berjaya menyembunyikan diri masing-masing. Maharaja Caucasus yang telah menaiki takhta kerajaan kumbang dengan cara menggulingkan Maharaja Tanduk itu berasa amat marah apabila Kim Yong dan Farhani gagal ditangkap. Maharaja Caucasus mengarahkan tenteranya segera mencari Kim Yong dan Farhani yang amat diperlukan untuk dijadikan bahan uji kaji bagi mencapai impiannya menakluki dunia dan manusia.  Peleraian –
Pada suatu malam, Farhani, Kim Yong, Dara Merah, kunang-kunang, dan pengikut mereka telah melancarkan serangan dan ternyata mereka berjaya menewaskan Komander Caucasus yang kejam dan para tenteranya. Mereka juga berjaya membebaskan Puteri Coleoptera, Bara, Maharaja Tanduk dan tiga orang rakannya, Haikal, Wei dan Devnath dengan selamat. Komander Caucasus, Dara Bintik dan para tenteranya telah dipenjarakan. Puteri Coleoptera telah ditabalkan sebagai pemerintah kerajaan kumbang yang baharu. Puteri Coleoptera terhutang budi atas kerjasama dan bantuan daripada Farhani dan empat orang rakannya. Farhani dan empat orang rakannya telah dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Namun begitu, mereka kecewa apabila kepulangan mereka tidak dapat dilihat oleh ahli keluarga masing-masing disebabkan mereka telah menjadi halimunan. Setelah kata sepakat diambil, Farhani dan empat orang rakannya telah kembali ke dunia kerajaan kumbang. Setelah meminum serum yang diberikan oleh Bara, akhirnya mereka berjaya kembali menjadi manusia asal dan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat. Berita kepulangan mereka telah mendapat liputan yang meluas daripada syarikat media cetak dan media elektronik. Namun begitu, mereka bersepakat untuk merahsiakan cerita sebenar mereka yang menjadi tawanan Komander Caucasus daripada kerajaan kumbang itu.

Latar Tempat
 Rumah Kim Yong.
 Rumah Farhani.
 Rumah usang/lama.
 Pinggir dusun datuk Farhani.
 Sekolah Menengah Seri Kencana.
 Ruangan bawah tanah rumah usang.
 Terowong gelap yang bercabang-cabang.
 Balang kaca tabung uji yang besar.
 Kota kerajaan kumbang.
 Mahligai Maharaja Tanduk.
 Makmal Kerajaan Kumbang
 Mahligai Maharaja Caucasus.

Latar Masa
 Setiap hari.
 Waktu subuh.
 Waktu siang.
 Waktu pagi.
 Waktu petang.
 Waktu malam.
 Pukul 2:30 petang.
 Pukul 5:30 petang.
 Pukul 8:00 malam.

Latar Masyarakat
 Masyarakat yang mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan.
 Masyarakat yang rajin menimba ilmu sains.
 Masyarakat yang gigih menghadapi cabaran dan dugaan hidup.
 Masyarakat yang prihatin terhadap soal keselamatan murid.
 Masyarakat yang berdedikasi dalam menjalankan tugas.
 Masyarakat yang hormat-menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mengira kaum dan agama.
 Masyarakat yang bekerjasama dan saling menolong ketika saat getir.
 Masyarakat kumbang yang berani menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan nyawa manusia dan kumbang yang lain.
 Masyarakat yang taat akan perintah agama.
 Masyarakat yang menghargai budaya dan warisan bangsa.
 Masyarakat yang baik hati terhadap orang lain.

Gaya Bahasa
Kosa kata nama-nama saintifik pelbagai spesies kumbang. Contohnya, Lampyridae; Chalcosoma Caucasus; Coccinellidae; Weevil; Chrysomelidae; dan Cicindelidae.
Bahasa Arab.Contohnya, Insya-Allah; Alhamdulillah; Assalamualaikum.
Bahasa Istana. Contohnya, tuanku; beta.
Peribahasa. Contohnya, sudah gaharu cendana pula; Bapa borek anak rintik.
Simile. Contohnya; Bunyi ranting-ranting yang dipijak umpama muzik mengiringi langkah mereka.
Sinkope. Contohnya, Cikgu, boleh tak kalau kita balik saja.
Repetisi. Contohnya, Hilang? Hilang ke mana? Dia diculikkah? Diculik siapa?
Perlambangan. Contohnya, Ada butiran jernih yang hampir gugur dari matanya.

Nilai
Baik hati. Contohnya, Farhani menghulurkan air minuman yang diisi di dalam tempurung kelapa yang cantik kepada Kim Yong yang begitu dahaga dan keletihan sewaktu mereka tiba di sebuah hutan selepas melarikan diri bersama-sama dengan Bara dan Dara Bintik dari makmal rahsia yang dikuasai oleh Komander Caucasus dan tenteranya.

Hemah tinggi. Contohnya, Puan Asmah melayani kunjungan Mira dan Chea Mei ke rumahnya dengan begitu mesra dan ramah.

Hormat-menghormati. Contohnya, walaupun berlainan agama dan bangsa, Devnath dan Wei memahami dan amat menghormati cara hidup Haikal sebagai seorang muslim apabila mereka faham kelewatan Haikal tiba ke tempat mereka berkumpul disebabkan Haikal menunaikan solat isyak terlebih dahulu.

Kasih sayang. Contohnya, Puan Lee, iaitu ibu Kim Yong amat bersedih dengan kehilangan anak tunggalnya yang dilaporkan hilang sewaktu pergi mencari kumbang di kawasan pinggir hutan di kampungnya.

Keberanian. Contohnya, Dara Merah berani menyamar sebagai Dara Bintik untuk menundukkan Maharaja Caucasus yang gagah walaupun Dara Merah hanyalah seekor kumbang betina.

Kebijaksanaan. Contohnya, Farhani menggunakan semburan Endosulfan untuk menewaskan Dara Bintik dan pasukan tentera Caucasus.

Kepatuhan. Contohnya, Bara dan Dara Merah merupakan koloni kumbang yang patuh dan setia kepada ketua mereka, Puteri Coleoptera apabila sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk menyelamatkan ketua mereka itu.

Kerjasama. Contohnya, Kim Yong, Farhani, Dara Merah, kunang-kunang, dan ahli-ahli kumbang yang lain bekerjasama dan bermuafakat dalam misi mereka untuk menyelamatkan Puteri Coleoptera, Bara, dan rakan-rakannya yang telah menjadi tawanan Maharaja Caucasus.

Ketabahan. Contohnya, Farhani tabah menghadapi saat-saat dia ditawan oleh Komander Caucasus dan pasukan tenteranya dengan menurut sahaja arahan kumbang-kumbang tersebut demi keselamatan nyawanya.

Pengajaran
Kita hendaklah gigih menempuh sebarang cabaran dan rintangan. Contohnya, Farhani gigih berdepan dengan berbagai-bagai cabaran seperti peristiwa dia terpaksa menyelamatkan diri daripada menjadi orang tawanan tentera Caucasus dan peristiwa dia dan empat orang sahabatnya yang gigih berikhtiar untuk pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat.

Kita mestilah menyayangi ahli keluarga kita. Contohnya, Puan Lee, iaitu ibu Kim Yong amat bersedih dengan kehilangan anak tunggalnya yang dilaporkan hilang sewaktu pergi mencari kumbang di kawasan pinggir hutan di kampungnya.

Kita hendaklah rajin membuat rujukan sebagai persediaan awal menghadapi satu-satu tugasan. Contohnya, Farhani rajin mencari maklumat berkaitan spesies kumbang melalui laman sesawang sebagai persediaan awal untuk memudahkan tugasannya mengenal pasti kepelbagaian spesies kumbang tersebut kelak.

Kita perlulah mengamalkan sikap baik hati sesama insan. Contohnya, Farhani menghulurkan air minuman yang diisi di dalam tempurung kelapa yang cantik kepada Kim Yong yang begitu dahaga dan keletihan sewaktu mereka tiba di sebuah hutan selepas melarikan diri bersama-sama dengan Bara dan Dara Bintik dari makmal rahsia.

Kita hendaklah mencintai dan berbangga akan budaya dan warisan bangsa. Contohnya, nenek Chea Mei sangat berbangga akan dirinya yang berketurunan baba dan nyonya. Dia mahir dalam ilmu sulaman dan sentiasa memakai pakaian tradisional yang diadaptasi daripada pakaian Melayu, iaitu kebaya nyonya.

Kita perlulah melayan tetamu yang datang ke rumah dengan sopan santun. Contohnya, Encik Adnan dan Puan Asmah melayani kunjungan Cikgu Salimah ke rumah mereka dengan begitu mesra dan ramah.

Kita hendaklah yakin akan kebolehan diri sendiri tanpa perlu bergantung pada orang lain. Contohnya, walaupun seorang gadis, Farhani berusaha mencari kumbang di dusun milik datuknya bersama-sama dengan Mira dan Chea Mei tanpa meminta khidmat bantuan sama ada daripada rakan lelaki sekelasnya, abang, atau ayahnya.

Novel Tawanan Komander Caucasus: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 3