Categories
Novel KSSM

Novel Sejambak Bakti

Novel Sejambak bakti tingkatan 1

Novel Sejambak Bakti: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis Novel Sejambak Bakti
Novel ini mengisahkan usaha murid dan guru Koperasi Sekolah
Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan untuk membangunkan
koperasi sekolah mereka. Harun, Swee Lan dan Saridevi sedang
bertugas di koperasi sekolah sebelum loceng untuk sesi pembelajaran berlangsung. Semasa sedang sibuk melayan pelanggan, seorang daripada murid yang berasak-asak di situ cuba mengambil sebatang pen tanpa membayarnya. Kehadiran Cikgu Zulkifli menamatkan perbualan mereka. Cikgu Zulkifli datang membawa surat panggil Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk kali pertama pada tahun tersebut.

Dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah kali pertama pada petang itu, sebanyak sebelas orang murid dan empat orang guru telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Cikgu Syamsudin, iaitu pengetua sekolah sebagai pengerusinya. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh pegawai daripada Jabatan Pembangunan Koperasi. Razali telah terpilih sebagai penolong setiausaha.

Konflik bermula apabila Munir berasa cemburu dengan pelantikan Razali sebagai penolong setiausaha. Mulai saat itu Munir, Leong, dan Selvam sering tidak hadir bertugas. Munir sentiasa cuba untuk rapat dengan Ramlah. Namun begitu, cubaan untuk memberi surat dan mengajak Ramlah menonton wayang gagal. Hal ini demikian, kerana Ramlah sangat rapat dengan Razali. Sikap Munir yang sering menganggu pelajar perempuan dan tidak hadir bertugas telah dirujuk kepada guru kaunseling sekolah. Akibat daripada peristiwa tersebut,
Munir telah menumbuk Razali sehingga berdarah. Perbuatan tersebut menyebabkan Munir dihukum rotan oleh pengetua. Razali juga terpilih untuk menghadiri kursus koperasi bersama-sama dengan wakil koperasi-koperasi sekolah seluruh Malaysia. Hal ini menambahkan lagi rasa cemburu Munir terhadap Razali.

Dua minggu sebelum hakim pertandingan koperasi terbaik sekolah-sekolah datang mengadili pertandingan tersebut, seluruh warga Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan dikejutkan dengan berita koperasi sekolah mereka telah diceroboh. Barang-barang dalam koperasi telah dipunggah, barangan yang ada berselerakan dan wang koperasi sebanyak RM 200.00 turut dicuri. Pihak polis telah dipanggil untuk melakukan siasatan. Razali dan Cikgu Zulkifli telah dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan. Hal ini demikian kerana tiada sebarang tanda-tanda bilik tersebut dipecahkan dan hanya Razali seorang sahaja yang memiliki kunci tersebut, manakala kunci di bilik pengetua tidak terusik. Kejadian tersebut menyebabkan ayah tiri Razali berasa malu sehingga sanggup menghalaunya keluar dari rumah.

Penjenayah tersebut berjaya dikesan setelah pencerobohan dilakukan untuk kali yang kedua. Munir terperangkap kerana memiliki sekeping wang kertas RM10.00 yang bertanda ‘K’. Dia dihukum tiga kali sebatan di hadapan tapak perhimpunan dan digantung sekolah selama seminggu. Suasana menjadi bertambah pilu apabila Munir sendiri meminta maaf kepada Razali dan mereka berpelukan sambil diiringi air mata yang berderaian. Razali dan Munir, akhirnya menjadi sahabat baik.

Masa terus berlalu, tiga orang hakim Pertandingan Koperasi Sekolah-Sekolah dari ANGKASA telah datang menghakimi koperasi sekolah mereka. Berdasarkan penilaian ketiga-tiga hakim tersebut koperasi sekolah mereka telah diumumkan sebagai johan dalam pertandingan yang dianjurkan oleh pihak ANGKASA. Persoalan tentang ayah Razali yang sebenar turut terungkai semasa majlis penerimaan piala kemenangan tersebut.

Tema dan Persoalan (Novel Sejambak Bakti)
Tema
Usaha dan kegigihan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Sekolah dan
guru-guru membangunkan koperasi sekolah mereka.

Persoalan
(a) Usaha yang baik selalu akan mendapat tentangan dan cabaran
yang hebat.
(b) Sifat cemburu akhirnya memakan diri sendiri.
(c) Kekayaan dan kemewahan akan membuatkan seseorang itu
sombong dan ego.
(d) Dugaan yang telah ditakdirkan mampu menjadikan seseorang itu
tabah dan hebat.
(e) Sifat ingin membalas dendam mampu membuatkan seseorang
melakukan jenayah yang besar.
(f) Kasih ibu yang tiada batasannya.
(g) Amalan muafakat akan membuahkan kejayaan.
(h) Sifat pemaaf merupakan sifat yang sangat terpuji dan sangat
dituntut oleh semua agama.

Watak dan Perwatakan
(a) Watak utama – Razali
(b) Watak sampingan – Munir, Leong, Silvam, Ramlah, Swee Lan,
Saridevi, Rozita, Harun, Cikgu Zulkifli, Cikgu Robeah, Norlela, Cikgu Saiful, Cikgu Muniam, Cikgu Syamsudin, Mak Sopiah, Pak Zakaria, dan Pak Ramli.

Razali
(a) Murid tingkatan 5.
(b) Seorang pemimpin sekolah iaitu dilantik sebagai Penolong
Setiausaha Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Sekolah.
(c) Tinggal bersama-sama ibu dan ayah tirinya.
(d) Menghormati orang tua.
(e) Tabah dan sabar dalam menghadapi pelbagai dugaan.
(f) Anak muda yang berwawasan dan bercita-cita tinggi.
(g) Seorang yang pemaaf.

Ramlah
(a) Rakan baik Razali.
(b) Ahli lembaga pengarah koperasi sekolah.
(c) Tinggal bersama-sama abangnya, seorang anggota polis di Balai
Polis Simpang Empat.
(d) Anak tiri Pak Ramli.

Swee Lan dan Saridevi
(a) Sahabat baik Razali.
(b) Ahli lembaga pengarah yang sangat rajin dan berdedikasi.
(c) Sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada Razali untuk memajukan koperasi sekolah.

Munir
(a) Matanya bulat bersinar-sinar.
(b) Pipinya penuh berisi.
(c) Berwajah bulat dan bertubuh tegap.
(d) Berpakaian kemas dan bermotosikal ke sekolah.
(e) Sangat cemburu akan Razali.
(f) Ahli lembaga pengarah koperasi sekolah
(g) Pendendam dan kuat cemburu.

Leong dan Selvam
(a) Rakan setia Munir.
(b) Sentiasa menyokong segala rancangan yang dirancang oleh Munir.
(c) Ahli lembaga pengarah koperasi sekolah.
(d) Bermotosikal ke sekolah.

Cikgu Zulkifli
(a) Tubuhnya tinggi lampai, rambutnya genjur, dan berkumis.
(b) Guru displin dan guru koperasi sekolah.
(c) Sangat prihatin dan bertanggungjawab.
(d) Bijak memerangkap penceroboh koperasi sekolah.
(e) Rajin membantu kegiatan koperasi sekolah.

Mak Sopiah
(a) Ibu Razali.
(b) Isteri kedua Pak Zakaria.
(c) Isteri pertama Pak Ramli
(d) Rajin melayani Razali.
(e) Seorang ibu yang memiliki kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap anaknya.

Pak Zakaria
(a) Bapa tiri kepada Razali.
(b) Seorang bekas tentera.
(c) Rakan Pak Ramli semasa menjadi anggota tentera.
(d) Seorang ayah tiri yang garang dan tidak menyukai anak tirinya,
Razali.

Pak Ramli
(a) Bapa kepada Ramlah.
(b) Bapa kandung Razali.
(c) Seorang bekas tentera.
(d) Rakan Pak Zakaria semasa menjadi anggota tentera.
(e) Bercerai dengan Mak Sofiah sewaktu Razali berusia satu tahun.
(f) Menetap di Melaka.

Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat (Novel Sejambak Bakti)
Latar Tempat

(a) Di Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayanga
(b) Di bilik mesyuarat.
(c) Di bandar Kangar.
(d) Di pinggir sawah.
(e) Di Kampung Serdang.
(f) Di bilik pengetua.

Latar Masa
(a) Pada waktu pagi.
(b) Pada waktu petang.
(c) Pada waktu malam.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang gigih berusaha untuk memajukan koperasi sekolah.
(b) Masyarakat yang terlibat dalam bidang keusahawanan dan penternakan.
(c) Masyarakat yang masih mengamalkan sikap berdendam dan iri hati akan kejayaan orang lain.
(d) Masyarakat yang yang taat pada perintah agama.
(e) Masyarakat yang terlibat dalam bidang pertanian.
(f) Masyarakat yang terlibat dalam bidang ketenteraan.

Teknik Plot
(a) Imbas kembali. Contohnya, Pak Razali menceritakan hubungannya dengan Mak Sopiah di hadapan Cikgu Syamsudin, Encik Ali, dan Pak Zakaria ketika berada di bilik Cikgu Syamsudin.

(b) Imbas muka. Contohnya, tujuan kursus koperasi tersebut diadakan adalah untuk mendedahkan generasi muda yang bakal memimpin koperasi negara kita tentang kepentingan penubuhan koperasi.

(c) Pemerian. Contohnya, penulis menyatakan keadaan ketika
berlangsungnya Mesyuarat Lembaga Pengarah Koperasi buat kali pertama diadakan pada tahun tersebut.

(d) Monolog dalaman. Contohnya, Razali mengeluh di dalam hati tentang nasibnya yang begitu malang.

(e) Kejutan. Contohnya, warga sekolah dikejutkan dengan kejadian kes pencerobohan koperasi sekolah.

(f) Saspens. Contohnya, pembaca dan pelajar-pelajar tertanya-tanya tentang lembaga berwarna hitam yang kelihatan memanjat pintu pagar dan menuju ke arah kedai koperasi.

Binaan Plot
(a) Permulaan – Pengarang memaparkan suasana pagi di Sekolah
Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Harun, Swee Lan, dan Saridevi sedang bertugas di koperasi. Kehadiran Cikgu Zulkifli membawa surat untuk mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk kali pertama pada tahun tersebut.

(b) Perkembangan – Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk kali pertama diadakan pada petang di bilik mesyuarat. Sebelas orang murid dan empat orang guru telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah koperasi. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh pegawai daripada Jabatan Pembangunan Koperasi.
Razali telah terpilih sebagai penolong setiausaha.

(c) Perumitan – Konflik bermula apabila Munir berasa cemburu dengan pelantikan Razali sebagai penolong setiausaha. Mulai saat itu Munir, Leong dan Selvam sering tidak hadir bertugas dan sentiasa cuba untuk rapat dengan Ramlah. Sikap Munir yang sering mengganggu pelajar perempuan dan tidak hadir bertugas telah dilaporkan kepada guru kaunseling sekolah iaitu Cikgu Muniam. Munir berdendam dengan Razali. Munir telah menumbuk Razali
sehingga berdarah. Perbuatan tersebut menyebabkan Munir dihukum rotan oleh pengetua.

(d) Klimaks – Seluruh warga Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan dikejutkan dengan berita koperasi sekolah mereka telah diceroboh. Wang koperasi sebanyak RM 200.00 turut dicuri. Pihak polis telah dipanggil untuk melakukan siasatan. Razali telah dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan. Hal ini demikian kerana tiada sebarang tanda-tanda bilik tersebut dipecahkan dan hanya Razali seorang sahaja yang memiliki kunci tersebut. Kejadian tersebut menyebabkan ayah tiri Razali berasa malu sehingga sanggup menghalaunya keluar dari rumah.

(e) Peleraian – Penjenayah tersebut berjaya dikesan setelah pencerohan berlaku buat kali kedua. Munir terperangkap kerana memiliki wang kertas RM10.00 yang bertanda ‘K’. Dia dihukum tiga kali sebatan di hadapan tapak perhimpunan dan digantung sekolah selama seminggu. Koperasi sekolah turut diumumkan sebagai Johan dalam pertandingan yang dianjurkan oleh pihak ANGKASA. Persoalan tentang ayah Razali yang sebenar turut terungkai semasa majlis penerimaan piala kemenangan tersebut. Razali dan Munir, akhirnya menjadi sahabat baik.

Gaya Bahasa
(a) Personifikasi – Ketika matahari menumpahkan cahayanya yang lembut, Angin membelai-belai tubuhnya, Matahari sedang menyemarakkan cahayanya di dada langit, Daunnya melambai-lambai ditiup angin.

(b) Simile – Kakinya seperti terpaku di tanah, Dia rasa dirinya seperti sehelai daun kering yang melayang-layang ke sana ke mari tanpa berharga.

(c) Peribahasa – Janganlah kerana nila setitik menyebabkan rosak susu sebelanga, ada udang di sebalik batu, masakan tempua bersarang rendah, seperti isi dengan kuku.

(d) Bahasa Arab – Assalamualaikum, Waalaikumussalam.
(e) Sinkope – tak.

Nilai
(a) Kecekalan. Razali cekal berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang dicipta oleh Munir dan rakan-rakannya kerana cemburu dengan kejayaannya mengurus koperasi sekolah dan cemburu dengan sikap Razali yang terlalu mesra dengan Ramlah

(b) Bertanggungjawab. Contohnya, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab.

(c) Kasih sayang. Contohnya, Mak Sopiah tegas menyatakan bahawa dia juga akan keluar dari rumah tersebut bersama-sama dengan Razali apabila Razali dihalau oleh ayah tirinya.

(d) Keprihatinan. Contohnya, Ramlah, Rozita, dan Saridevi begitu prihatin dengan melaporkan kejadian Razali dipukul oleh Munir, Leong, dan Selvam kepada Cikgu Zulkifili.

(e) Bekerjasama. Cikgu Zulkifli, Cikgu Robeah, Razali, Ramlah dan ahli lembaga pengarah yang lain bekerjasama untuk memajukan koperasi sekolah.

Pengajaran
(a) Kita perlulah cekal dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran.
(b) Kita perlulah bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kita.
(c) Ibu bapa mestilah menyayangi anak-anak walaupun anak tiri.
(d) Kita mestilah berani untuk menegakkan sesuatu kebenaran.
(e) Kita perlulah prihatin dalam membina persahabatan yang ikhlas.
(f) Kita mestilah bekerjasama untuk memajukan sesebuah organisasi.

Novel Sejambak Bakti: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 1