Categories
Novel KSSM

Novel Jejak Monpus

novel jejak monpus

Novel Jejak Monpus: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis
Zahar seorang penuntut jurusan Biologi, Fakuti Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia. Dia begitu obses dengan dunia serangga sejak kecil lagi. Minat Zahar terhadap dunia serangga terutamanya ulat bulu dan rama-rama makin mendalam hingga dia membina sebuah makmal kecil di sebelah rumahnya. Ibu Zahar, Qistina seorang guru. Beliau sentiasa memberikan galakan kepada Zahar untuk mengembangkan minatnya. Zahar seorang penuntut yang sangat berdedikasi. Zahar telah menerima banyak anugerah atas penyelidikan dan inovasi yang dijalankan bersama dengan pihak universiti.

Terdapat pelbagai spesies ulat bulu yang dikumpulkan oleh Zahar di dalam makmalnya. Namun begitu, terdapat satu spesies yang paling disayangi oleh Zahar yang dinamakannya Pus Pus. Keadaan fizikal Pus Pus yang lemah membuat Zahar risau. Zahar mengambil keputusan untuk ke Pulau Pisang bersama dengan Fikri dan Malcom. Zahar mahu mencari spesies baharu untuk diklonkan dengan Pus Pus. Dia bernasib baik kerana telah menjumpai seekor ulat bulu yang cantik yang dinamakan Morgan. Sesuatu yang aneh telah berlaku. Morgan mengalami perubahan, iaitu ada sayap kecil di kiri dan di kanan abdomennya.

Selepas itu, berlaku sesuatu yang menggemparkan penduduk Kampung Maju Jaya apabila beribu-ribu ulat bulu menyerang kampung tersebut. Penduduk kampung terkena penyakit. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, dan pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama.

Warung kopi Pak Mail kecoh. Berita tentang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya tersiar dalam surat khabar. Pak Mail, Manaf, Jusuh, Ahmad, Usop, dan Ripin menyalahkan Zahar atas kejadian yang berlaku di kampung mereka. Perbualan mereka terhenti apabila melihat Zahar dan ibunya tiba dengan kereta pacuan empat roda. Ripin meluru keluar dari warung itu. Dia bertekak dengan Zahar. Qistina cuba meleraikan mereka. Kata-kata kesat Ripin terhadap Qistina membuat Zahar berasa amat marah. Pergaduhan antara Zahar dan Ripin berlaku. Ripin melibaskan pisau lipat ke badan Zahar. Pisau tersebut terkena pada bahu Zahar. Zahar dirawat di Hospital Pontian. Akhirnya, Zahar dibenarkan keluar dari hospital dan diberi cuti sakit selama seminggu.

Zahar melayari internet dan membaca buku tentang ulat bulu. Zahar menemui jawapan dan penyelesaian bagi masalah yang melanda. Zahar mengajak Fikri menemaninya ke Pulau Pisang. Di Pulau Pisang, Zahar dan Fikri telah menjumpai beberapa ekor ulat bulu yang mirip dengan spesies Morgan. Ulat-ulat bulu itu sedang makan daun hijau bersaiz lebar. Zahar yakin bahawa Morganlah penawar bagi serangan ulat bulu di kampungnya. Pada suatu malam, Zahar terpaksa mengorbankan Morgan. Keesokannya selepas kuliah tamat, Zahar segera pulang ke rumah. Sewaktu masuk ke dalam makmal, Zahar panik kerana bahan uji kajinya, botol beracun, dan buku formulanya hilang.

Zahar dan Fikri melakukan siasatan dan mendapati Ripinlah yang bertanggungjawab. Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan. Seminggu kemudian, Ripin ditangkap polis untuk membantu siasatan berhubung dengan sindiket penjualan benih cambah sawit secara haram dan pemalsuan dokumen urus niaga menggunakan logo Sime Darby Plantation dan Felda Agriculture Services Sdn. Bhd. (FASSB). Kegiatan Ripin dan beberapa orang anak muda kampung terbongkar. Mereka didapati mengusahakan tapak benih cambah sawit secara haram. Semasa penggeledahan dibuat di stor Ripin, pihak polis menjumpai bahan penting yang hilang seminggu yang lalu.

Formula ciptaan Zahar akhirnya berjaya. Setelah dipatenkan, formula Zahar menjadi produk yang dikomersialkan dan diberi nama MONPUS. Nama MONPUS ialah gabungan antara ulat bulu Morgan dan Pus Pus yang telah dijejaki sekian lama. Akhirnya, melalui proses eksperimen yang rumit maka terhasillah racun serangga khusus untuk membunuh ulat bulu berintik hitam yang telah menyerang penduduk Kampung Maju Jaya.

Pada akhir cerita, Zahar berjaya menerima Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor daripada Universiti Oxford London. Majlis tersebut menjadi detik yang paling menggembirakan Zahar kerana anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh ayahnya, Dr. Baharuddin yang kini menjadi tenaga pengajar di universiti tersebut. Kegembiraan Zahar semakin bertambah apabila bapa yang sangat dirinduinya telah melamar ibunya semula. Serangan ulat bulu berintik hitam mempunyai hikmah yang tersembunyi. MONPUS bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa tetapi telah menyambung hubungan yang sekian lama terputus.

Tema
Kegigihan seorang mahasiswa dalam membuat penyelidikan untuk menyelamatkan nyawa manusia yang diancam oleh serangan ulat bulu.

Persoalan
(a) Kepentingan ilmu sains dalam kehidupan.
(b) Hubungan kasih sayang dalam keluarga.
(c) Sikap dendam yang memudaratkan diri.
(d) Kepercayaan tahayul dalam kalangan masyarakat.
(e) Ketabahan dan keberanian untuk berjaya.
(f) Pencemaran alam sekitar yang membawa kesan negatif kepada masyarakat.
(g) Gejala sosial dalam kalangan anak muda di kampung.

Watak dan Perwatakan
Zahar
(a) Anak tunggal dalam keluarga.
(b) Berumur 22 tahun.
(c) Amat menyayangi ibunya yang hidup tanpa suami
(d) Mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap serangga sejak kecil lagi.
(e) Mengambil jurusan Biologi di Fakulti Sains Hayat, Universiti Teknologi Malaysia.
(f) Seorang yang gigih, rajin, dan tabah dalam menjalankan penyelidikan sains berkaitan dengan kehidupan serangga.
(g) Berani.
(h) Suka membantu orang lain.
(i) Bijak.

Qistina
(a) Ibu kepada Zahar.
(b) Seorang yang cantik dan bergaya walaupun umurnya telah mencecah 40-an.
(c) Bekerja sebagai guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Sri Yasin.
(d) Guru yang berdedikasi, rajin, dan komited terhadap kerjaya.
(e) Penyayang.
(f) Pemaaf.

Profesor Dr. Baharuddin
(a) Ayah kepada Zahar dan bekas suami kepada Qistina.
(b) Seorang saintis yang terkenal di Universiti Oxford London.
(c) Berhijrah dari Malaysia selepas berpisah dengan Qistina.
(d) Kurang bertanggungjawab terhadap keluarga.
(e) Insaf atas kesalahannya.

Mawar
(a) Rakan sekuliah Zahar.
(b) Merupakan anak sulung daripada lima beradik.
(c) Seorang gadis yang cantik, lemah lembut, tertib, dan sopan.
(d) Penyayang.
(e) Bijak.

Munirah
(a) Rakan sekuliah Zahar.
(b) Kuat cemburu.
(c) Menyimpan perasaan terhadap Zahar.

Fikri
(a) Rakan sekuliah Zahar
(b) Sahabat baik Zahar
(c) Baik hati
(d) Menghormati orang tua

Malcom Tan
(a) Rakan sekuliah Zahar
(b) Sahabat baik Zahar
(c) Baik hati
(d) Menghormati orang tua

Ripin
(a) Pendendam
(b) Kuat cemburu
(c) Busuk hati.

Faridah
(a) Salah seorang murid Cikgu Qistina.
(b) Suka membantu guru.
(c) Anak tunggal dalam keluarganya.
(d) Bertubuh kecil, berwajah bujur sirih, dan bermata galak.
(e) Bijak dan cerdas.
(f) Anak saudara kepada Profesor Dr. Baharuddin.

Binaan Plot
Permulaan – Pengarang memperkenalkan watak Zahar dan ibunya, Qistina. Zahar mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dalam bidang Biologi, Fakulti Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia. Minatnya amat mendalam terhadap serangga terutamanya spesies ulat bulu dan rama-rama.

Perkembangan – Zahar berasa sedih kerana ulat bulunya yang bernama Pus Pus semakin tenat dan memaksa Zahar mencari penggantinya. Zahar bersama dengan rakannya, Malcom ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai untuk mencari spesies ulat bulu tersebut. Kemudian, Zahar meneruskan pencariannya di Kem Kaizen bersama dengan Malcom dan Fikri. Namun begitu, mereka tidak berjaya. Akhirnya, Zahar dan rakan-rakannya ke Pulau Pisang. Mereka berjaya menemui spesies Monarch. Cantuman tisu Pus Pus dan Monarch telah menghasilkan ulat bulu yang cantik. Zahar menamakan spesies baharu tersebut Morgan.

Perumitan/Konflik – Beribu-ribu ulat bulu menyerang Kampung Maju Jaya. Penduduk kampung terkena penyakit. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, dan pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama. Klimaks/puncak cerita – Formula ciptaan Zahar hilang. Zahar dan Fikri melakukan siasatan. Hasil siasatan yang dilakukan mereka mendapati bahawa Ripinlah yang bertanggungjawab. Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan.

Peleraian – Zahar berjaya mencipta formula MONPUS gabungan ekstrak cecair antara Morgan dan Pus Pus. Formula ciptaan Zahar berjaya menghapuskan ulat-ulat bulu di Kampung Maju Jaya. Ripin pula telah ditangkap oleh pihak polis atas jenayah yang dilakukannya. Cerita berakhir dengan kegembiraan apabila Zahar berjaya menerima Anugerah Sains Negara yang disampaikan oleh ayahnya sendiri. Zahar juga berjaya memperoleh Biasiswa Kerusi Canselor daripada Universiti Oxford London. Kegembiraan Zahar makin bertambah apabila ayahnya melamar ibunya semula.

Teknik Plot
(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan sikap Zahar yang sangat suka bermain dengan serangga sejak kecil lagi.

(b) Teknik dialog. Contohnya, Zahar berbual dengan Malcom tentang sumbangan pokok bakau sewaktu mereka ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai.

(c) Teknik imbas kembali. Contohnya, Zahar teringat akan saat perkenalannya dengan Mawar seminggu selepas mereka memulakan kuliah di Universiti Teknologi Malaysia.

(d) Teknik saspens. Contohnya, pembaca tertanya-tanya tentang keadaan Zahar setelah dia terkena pisau lipat yang dilibaskan oleh Ripin ke badan Zahar.

(e) Teknik kejutan. Contohnya, pembaca terkejut apabila mengetahui orang yang menyampaikan Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor kepada Zahar ialah ayahnya sendiri.

Latar Tempat
(a) Makmal kecil di sebelah rumah Zahar.
(b) Rumah Zahar di Kampung Maju Jaya.
(c) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Yasin.
(d) Kem Kaizen.
(e) Pulau Pisang.
(f) Balai raya.
(g) Kedai kopi Pak Mail.

Latar Masa
(a) Waktu pagi. (c) Waktu malam.
(b) Waktu petang (d) Waktu subuh

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan.
(b) Masyarakat kampung yang menjalankan kerja pertanian dan perladangan.
(c) Masyarakat yang terdiri daripada pebagai bangsa.
(d) Masyarakat yang terdiri daripada pelajar dan guru.
(e) Masyarakat yang suka berdendam.
(f) Masyarakat yang terdiri daripada penuntut universiti.
(g) Masyarakat yang percaya kepada bomoh dan perkara tahayul.
(h) Masyarakat yang pemaaf.

Unsur Gaya Bahasa
(a) Personifikasi. Contohnya, Bahang,yang mula menggigit membuatkan penghuni yang berada di dalam bangunan yang berupa makmal kecil itu mulai resah; Burung-burung berkicauan menyambut kedatangan pagi.

(b) Metafora. Contohnya, lautan masa; kotak ingatan; tirai kehidupan.

(c) Simile. Contohnya, Cinta, seperti kerja, amat meletihkan; Cahaya itu tiba-tiba menebar tak ubah seperti renjatan dalam filem ‘X-Ray’; Tiba-tiba perasaan Fikri seperti dihempap beban yang berat.

(d) Peribahasa. Contohnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi; bagai ikan pulang ke lubuk; seperti mencurah air ke daun keladi.

(e) Inversi. Contohnya, Beberapa minit kemudian, mereka sudah memasuki pekarangan sekolah; Hampir mabuk mereka menghabiskan udang yang memenuhi piggan mi udang Wak Sino.

Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, Zahar amat menyayangi ibunya dan sanggup berulang-alik dari rumah ke kampus kerana tidak mahu ibunya tinggal sendirian di rumah.

(b) Keberanian. Contohnya, Zahar dan rakan-rakannya berani menjelajah Pulau Pisang yang terlalu banyak kisah seramnya semata-mata untuk membuat kajian tentang ulat bulu.

(c) Kesabaran. Contohnya, Zahar begitu sabar mencari formula untuk menyelamatkan penduduk kampungnya daripada serangan ulat bulu.

(d) Berhemah tinggi. Contohnya, Qistina tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap Baharuddin malah memaafkan bekas suaminya itu.

(e) Kebijaksanaan. Contohnya, Zahar sentiasa melakukan kajian dan inovasi untuk membantu masyarakat.

Pengajaran
(a) Kita mestilah menyayangi ibu yang telah banyak berjasa kepada kita. Contohnya, Zahar amat menyayangi ibunya, Qistina yang telah mengasuhnya sejak dia ditinggalkan oleh ayahnya.

(b) Kita haruslah bersabar dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya, Zahar begitu sabar mencari formula untuk menye-lamatkan penduduk kampung daripada serangan ulat bulu.

(c) Kita tidak seharusnya menyimpan dendam terhadap orang lain. Contohnya, Ripin berdendam terhadap Zahar yang telah membelasahnya sehingga sanggup mencuri formula ciptaan Zahar.

(d) Kita janganlah membuat tuduhan melulu tanpa bukti. Contohnya, penduduk kampung yang dihasut oleh Ripin menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya.

(e) Kita hendaklah insaf atas kesalahan yang kita lakukan. Contohnya, Dr. Baharuddin meminta maaf atas kesalahannya kepada bekas isterinya, Qistina

Novel Jejak Monpus: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2