Categories
Novel KSSM

Novel Jalan Ke Puncak

Novel jalan ke puncak

Novel Jalan Ke Puncak: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis
Laiman pemuda dari Sabah menuntut ilmu untuk mendapatkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan. Dia dihantar ke syarikat Shell di Sarawak untuk menjalani latihan. Dia memang berkeupayaan untuk maju dalam bidang yang dipelajarinya. Dalam latihan, Laiman bekerja sungguh-sungguh, tetapi impiannya lain daripada itu. Di tempat latihan itu, Laiman akrab dengan gadis yang bernama Soniah, yang juga masih belajar. Hal ini menimbulkan rasa cemburu kawannya yang bernama Muluk. Soniah merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara Laiman dan Muluk, tetapi dia menyembunyikannya.

Soniah pernah tersilap menyebut nama Muluk. Apabila ditanya oleh Laiman, Soniah tidak mahu bercerita apa-apa tentang Muluk. Ketika Laiman tiada di tempat kerja kerana pergi ke Kuching, tangki minyak shell terbakar. Ada telahan kononnya Laiman yang merancang pembakaran tangki minyak itu sebelum dia ke Kuching. Pengurus syarikat sendiri pun mengesyaki Laiman. Walau bagaimanapun, setelah mendapat keterangan daripada Laiman, pengurus syarikat percaya bahawa Laiman tidak bersalah.

Setelah tamat belajar, Laiman balik ke kampungnya. Bagi Laiman, ijazah yang diperolehnya bukanlah tiket untuk dia mencari pekerjaan bergaji tetap. Dia memikirkan projek yang sentiasa ada dalam fikirannya sejak dahulu. Apabila mendapat tawaran untuk bekerja di jabatan pertanian, Laiman menolaknya. Tindakan Laiman itu menimbulkan rasa hairan dalam hati sepupunya Milan. Hal tersebut menimbulkan kemarahan ayah Laiman, Pak Kiassim juga. Pak Kiassim yakin bahawa bekerja makan gaji adalah yang terbaik bagi lulusan universiti. Fikiran Laiman ketika itu tertumpu pada projek ternakan lebah madu dan ternakan ikan air tawar. Dia merancang untuk membuat projek ternakan ikan air tawar di tanah paya bersebelahan tanah Pak Sahok. Ternakan lebah madu tidak menjadi masalah bagi Laiman kerana projek tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Di samping itu, dia menanam tembikai juga.

Kemarahan Pak Kiassim menjadi-jadi apabila dilihatnya Laiman tidak beroleh apa-apa kemajuan. Namun begitu, Laiman tetap dengan pendiriannya. Dia berpakat dengan Milan untuk terus bergerak maju. Pada mulanya, Milan juga kurang bersemangat. Milan menjadi yakin dan bersemangat apabila melihat Laiman tidak pernah berputus asa. Mereka bersama-sama meminta izin Pak Sahok untuk melaksanakan projek di sebelah tanah Pak Sahok, tetapi Pak Sahok tidak mengizinkannya. Laiman tahu bahawa Pak Sahok bukan pemilik tanah yang dicita-citakannya itu. Namun begitu, dia tidak mahu bermusuh dengan Pak Sahok.

Milan makin bersemangat seperti Laiman. Tanaman tembikai ada kemajuan. Laiman masih memikirkan projek lain, iaitu kebun limau dan kelapa. Milan bimbang kerana fikiran Laiman terlalu bercabang-cabang, tetapi Laiman yakin dengan caranya. Menurutnya, kerjanya yang banyak akan dibantu oleh budak-budak yang gagal dalam persekolahan. Hal tersebut tentu akan menyenangkan hati ibu bapa budak-budak itu. Setelah masa berlalu agak lama, Pak Kiassim dapat menerima usaha Laiman. Dia telah melihat kejayaan Laiman dalam bidang penanaman tembikai. Pak Sahok masih enggan mengizinkan Laiman menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya untuk maksud ternakan ikan air tawar. Hasil perundingan dengan Pak Kiassim, Pak Sahok kemudiannya bersetuju.

Laiman memulakan projeknya. Paya itu diperdalam menggunakan jentera pengorek. Setelah segala-galanya elok, Laiman menambah bidangnya lagi. Sebahagian daripada tempat itu digunakan oleh Laiman untuk ternakan ikan air tawar, manakala sebahagian lagi untuk ternakan udang harimau. Laiman menyerahkan urusan kebun tembikai kepada ayahnya.
Masalah dalam perusahaan merupakan perkara biasa. Masalah yang menimpa Laiman ialah dua orang anak muda yang dilatihnya, iaitu Kedek dan Muali, meninggalkannya untuk membuka perusahaan sendiri. Laiman tidak kecewa, kerana sekurang-kurangnya dia telah berjaya melatih orang lain bekerja.

Kejayaan Laiman makin cemerlang apabila Jabatan Petanian berjanji untuk membantunya memperbesar perusahaan ternakan ikan air tawarnya. Ketika itu, Laiman teringat akan Soniah, gadis yang akrab dengannya semasa dia berada di Sarawak dulu.

Tema
Kesungguhan dan kegigihan seorang anak muda berkelulusan universiti bercita-cita untuk menjadi usahawan muda.

Persoalan
(a) Kasih sayang dalam keluarga.
(b) Kepentingan pelajaran dalam kehidupan.
(c) Pengorbanan untuk keluarga.
(d) Sikap mengutamakan kerjaya sebelum bercinta.
(e) Kemiskinan dalam kalangan masyarakat.
(f) Kegigihan dalam melaksanakan pekerjaan.

Watak dan Perwatakan
Laiman

(a) Anak kepada Pak Kiassim.
(b) Mempunyai abang yang bernama Mail dan adik yang bernama Jariah.
(c) Cinta akan ilmu.
(d) Menjalani latihan praktikal di syarikat Shell di Sarawak.
(e) Bercita-cita tinggi.
(f) Mengusahakan projek penternakan akan air tawar dan penternakan lebah madu.
(g) Berkebun tembikai, berniaga kuih, pisang, dan kelapa.
(h) Tabah.
(i) Berprinsip.
(j) Taat akan perintah agama.
(k) Jujur.

Pak Kiassim
(a) Bapa kepada Laiman.
(b) Tidak bersetuju apabila Laiman mengatakan bahawa dia mahu memulakan projek ternakan ikan air tawar.
(c) Berbangga atas kejayaan Laiman.

Pak Sahok
(a) Memiliki tanah dekat dengan tanah paya.
(b) Bertani.
(c) Keras hati.

Milan
(a) Sepupu kepada Laiman.
(b) Baik hati.
(c) Rajin.
(d) Mempunyai semangat setia kawan yang tinggi.

Soniah
(a) Kawan baik Laiman semasa di Sarawak.
(b) Seorang gadis berketurunan Melanau.
(c) Belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, sama seperti Laiman.
(d) Bersemangat kental.

Sukri
(a) Bekerja di sebuah syarikat minyak di Sarawak.
(b) Rapat dengan Laiman semasa Laiman membuat latihan praktikal di syarikat Shell di Sarawak.
(c) Tidak percaya bahawa Laiman membakar tangki minyak dan dia membela Laiman.

Muluk
(a) Kuat cemburu.
(b) Busuk hati.

Plot – Binaan Plot
(a) Permulaan – Laiman pemuda yang rajin. Dia menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat minyak. Laiman melakukan tugas yang diberikan kepadanya dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, dia disenangi oleh pengurus dan kawan-kawan di tempat kerjanya itu. Sukri yang bertugas di situ mengajak Laiman makan bersama-sama.

(b) Perkembangan – Laiman berkawan rapat dengan Soniah yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama, iaitu kejuruteraan. Soniah menyebut nama Muluk dalam satu perbualan, tetapi kemudian tidak mahu meneruskan cerita tentang Muluk. Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Laiman tetapi dia terpaksa melupakan hal itu memandangkan Soniah benar-benar tidak mahu bercerita tentang Muluk.

(c) Perumitan/Konflik – Loji minyak terbakar. Loji itu baru dibaiki oleh Laiman. Namun begitu, mujurlah kebakaran itu berlaku semasa Laiman pergi ke Kuching. Orang yang melakukan sabotaj itu tidak tahu bahawa Laiman tiada di kawasan syarikat semasa kebakaran berlaku. Seterusnya, bapa Laiman memarahi Laiman kerana menolak pekerjaan yang ditawarkan. Pak Kiassim menentang hasrat Laiman membuat projek sendiri juga.

(d) Klimaks – Muluk ditangkap polis atas tuduhan membakar loji minyak. Dia berbuat demikian kerana cemburu apabila melihat hubungan mesra antara Laiman dengan Soniah. Pak Sahok mengalah dan mengizinkan tanah paya di sebelah tanahnya digunakan untuk projek ternakan ikan air tawar. Keizinan itu menyebabkan Laiman dan kawan-kawannya dapat bekerja keras. Akhirnya, projek ternakan ikan air tawar itu dianggap projek contoh.

(e) Peleraian – Laiman hidup senang kerana usahanya membuahkan hasil. Laiman memikirkan perancangan untuk memulakan hubungan bercorak baharu dengan Soniah.

Plot – Teknik Plot
(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan hubungan Laiman dengan Sukri yang sudah terjalin erat walaupun baru dua bulan lebih mereka berkawan.

(b) Teknik dialog. Contohnya, Laiman berbual dengan Milan tentang cadangan Laiman yang mahu mengusahakan projek ternakan lebah madu dan dan ikan air tawar di tanah paya di sebelah tanah Pak Sahok.

(c) Teknik saspens. Contohnya, pembaca tertanya-tanya siapakah yang membakar loji minyak.

(d) Teknik kejutan. Contohnya, pembaca terkejut apabila Pak Sahok menyetujui kehendak Laiman untuk menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya dengan mudah setelah Pak Kiassim memujuknya.

Gaya Bahasa
(a) Simile. Contohnya, Pagi esoknya minyak yang belum diproses tumpah bagaikan air hujan di tepi-tepi longkang; Laiman seperti berputus asa.

(b) Peribahasa. Contohnya, selurus-lurus ekor anjing, ada juga bengkoknya; nasi sudah menjadi bubur; mencontengkan arang ke muka.

(c) Personifikasi. Contohnya, Mata pengurus itu menikam lembut wajah Laiman dengan hati yang lega; Tangannya lancar berlari di atas tikar yang sudah separuh dianyamnya sejak sebulan lalu.

(d) Inversi. Contohnya, Sebentar lagi dia akan meneruskan kerjanya di luar pula; Di sana dia makan.

Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat
Latar Tempat

a) Syarikat minyak di Tepi pantai, Sarawak
b) Bandar Kuching
c) Bandar Miri
d) Kota Marudu
e) Rumah Laiman
f) Rumah Milan
g) Kebun tembikai
h) Tanah paya

Latar Masa
(a) Waktu siang.
(b) Waktu malam.
(c) Waktu lampau.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang kuat bekerja.
(b) Masyarakat yang miskin dan sederhana.
(c) Masyarakat yang tegas pendirian.
(d) Masyarakat yang mampu berubah.
(e) Masyarakat yang kuat cemburu.
(f) Masyarakat yang taat akan perintah agama.

Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, nenek Laiman sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk memastikan Laiman mendapat pendidikan tinggi.

(b) Ketabahan. Contohnya, Laiman tabah menghadapi segala dugaan untuk mencapai cita-citanya.

(c) Tanggungjawab. Contohnya, Sukri menyelia pekerjaan Laiman dengan penuh tanggungjawab semasa Laiman menjalani latihan praktikal di syarikat minyak.

(d) Baik hati. Contohnya, Laiman tidak menunjukkan sikap marah apabila Kedek dan Muali yang dilatihnya bertindak meninggalkan projek yang akan dibuat.

(e) Keinsafan. Contohnya, bapa Laiman, iaitu Pak Kiassim insaf setelah memahami pendirian Laiman. Pak Sahok juga insaf lalu bersetuju tanah paya di sebelah tanahnya digunakan oleh Laiman untuk projek ternakan ikan air tawar.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah berusaha sungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan yang cemerlang. Contohnya, Laiman bekerja keras bagi memastikan projeknya berjaya.

(b) Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Contohnya, Laiman menyiapkan kerja yang diarahkan oleh pengurus syarikat minyak dengan penuh tanggungjawab.

(c) Kita hendaklah menerima keputusan orang lain dengan hati terbuka. Contohnya, keputusan Kedek dan Muali untuk meninggalkan projek diterima oleh Laiman dengan hati terbuka.

(d) Kita hendaklah bersikap jujur dengan rakan sekerja. Contohnya, Laiman menunjukkan akaun simpanan projeknya kepada Milan.

Novel Jalan Ke Puncak: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2