Categories
Novel KSSM

Novel Darah Titik Di Semantan

darah titik di semantan

Novel Darah Titik Di Semantan: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis
Sejak pulang dari Pulau Tawar, sikap Datuk Bahaman banyak berubah. Beliau sering memencilkan diri. Rahman mengatakan bahawa dua tahun dahulu, negeri mereka telah diambil oleh Inggeris. Inggeris telah mengikat perjanjian dengan raja mereka. Raja mereka semacam dipaksa oleh Inggeris untuk menandatangani perjanjian itu. Perkara itulah yang difikirkan oleh Datuk Bahaman. Pada suatu hari, Datuk Bahaman diberitahu bahawa Inggeris telah mula masuk ke Semantan. Mereka sedang menggali kubu panjang dan mata-mata Sikh berkawal. Pak Long Abas hendak bertindak tetapi Datuk Bahaman menghalangnya. Persiapan yang rapi perlu dilakukan lebih dahulu. Datuk Bahaman mengatakan bahawa peperangan itu membabitkan sultan. Datuk Bahaman tidak mahu sultan menerima nasib yang sama seperti Sultan Perak yang dibuang daerah ke sebuah pulau di Lautan Hindi.

Datuk Bahaman memuji tindakan Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad yang membina kubu di Lubuk Sengarat. Pada suatu hari, Zahid, Samad, dan Awang Muhammad ternampak dua buah perahu yang dikayuh oleh empat orang Melayu. Dalam perahu pertama terdapat seorang lelaki Inggeris yang memakai pakaian seragam berwarna kuning, bertopi keras, dan memegang senapang. Dia diapit oleh mata-mata Inggeris. Samad hendak menyerang mereka tetapi dihalang oleh Awang Muhammad. Dalam peristiwa yang lain pula, dua orang pemuda Melayu datang ke kampung itu untuk melakukan bancian. Berlakulah pergaduhan antara Zahid dan rakan-rakannya dengan dua pemuda Melayu itu. Pergaduhan tersebut berpunca daripada tindakan dua orang pemuda Melayu itu yang mahu menceroboh isteri Lajis. Datuk Bahaman tiba-tiba muncul lantas memberikan amaran kepada dua orang pemuda tersebut. Datuk Bahaman mahu Inggeris sedar bahawa beliau masih berkuasa di Semantan dan pihak Inggeris perlu menghormati beliau. Pada suatu hari, Mat Kilau datang berjumpa dengan Datuk Bahaman dan membawa berita tentang mesyuarat yang berlangsung antara Clifford dengan sultan. Syres telah mengadu kepada sultan dengan mengatakan bahawa Datuk Bahaman tidak memberikan kerjasama kepadanya untuk membina rumah pasung. Owen pula mengadu bahawa Datuk Bahaman telah mengganggu orang-orangnya yang membuat bancian. Clifford pula meminta sultan mengisytiharkan Datuk Bahaman sebagai penderhaka.

Kini, Datuk Bahaman dan para pengikutnya telah bersedia untuk memerangi Inggeris. Apabila bahagian tengah perahu yang dinaiki Desborough sampai hampir ke setentang rantai besi yang tenggelam di dalam air, Datuk Bahaman merentap rantai besi tersebut hingga tegang. Perahu Desborough terbalik. Desborough dan konco-konconya tercampak ke dalam sungai. Berpuluh-puluh bambu runcing menghujani musuh di dalam air itu. Musuh telah tewas. Suatu mesyuarat penting diadakan di rumah Datuk Bahaman. Selesai mesyuarat, mereka mula bertindak untuk menyelamatkan mayat Ismail. Ismail telah dibunuh oleh Inggeris. Rumah pasung itu diserang dan semua mata-mata Inggeris dibunuh. Bagi menghadapi kedatangan Desborough buat kali kedua, dua pasukan telah dibentuk. Satu pasukan diketuai oleh Datuk Bahaman dan satu pasukan lagi diketuai oleh Datuk Panglima Raja. Pasukan Datuk Panglima Raja meronda di luar kawasan Bandar Kuala Semantan. Datuk Panglima Raja mengarahkan Zahid dan yang lain-lainnya untuk menyediakan bahan-bahan untuk dibuat bubur. Bubur itu diisikan di dalam mangkuk dan dihidangkan di atas tikar yang terbentang di tempat lapang. Datuk Panglima Raja dan pengikut-pengikutnya bersembunyi. Tidak lama kemudian, datang empat puluh orang mata-mata Inggeris dengan diketuai dua orang Inggeris. Mata-mata Inggeris itu berebut-rebut untuk makan bubur itu sebaliknya dua orang Inggeris itu hanya memerhatikan mereka. Salah seorang daripada orang Inggeris itu ialah Desborough. Mata-mata Inggeris itu mulai kesakitan. Seorang demi seorang terjun ke dalam sungai. Akhirnya, semua mata-mata Inggeris itu hanyut dibawa arus.

Selepas lima hari berlalu, dua pasukan itu bertemu semula di Lubuk Terua. Rahman dan Hassan Tahmid mendapatkan nama beratus-ratus orang kampung bagi menyertai perjuangan. Dalam dua tiga minggu keadaan di Semantan tenang. Mereka menyusun jadual latihan menembak. Datuk Bahaman mengadakan mesyuarat lagi dan meminta semua orang bersedia. Batu Hampar diletakkan di bawah jagaan Datuk Panglima Raja sementara Imam Perang Weh menjaga Pasir Tuk Anjang. Tuk Muda Bidin, Datuk Bahaman, Mat Lela, dan Tuk Selampit pula di Lubuk Sengarat. Desborough ditugaskan Inggeris untuk mengetuai lima puluh orang mata-mata Inggeris yang akan tiba bersama dengan tiga ratus orang askar sultan. Datuk Bahaman berpesan kepada pengikut-pengikutnya supaya berundur jika mereka terlihat askar-askar sultan bercampur dengan mata-mata Inggeris. Hampir waktu senja, Desborough tiba di Lubuk Terua. Di dalam perahunya tidak kelihatan askar-askar sultan. Sebaik-baik sahaja haluan perahu Desborough bertentangan dengan rantai yang merentang Sungai Semantan, Datuk Bahaman pun menarik rantai itu. Perahu Desborough terbalik. Desborough dan orang-orangnya tercampak ke dalam air. Bambu runcing menghujani orang-orang Desborough. Perahu-perahu lain tidak jadi mudik. Askar-askar sultan terpinga-pinga lalu hilir mudik ke Batu Hampar dan ke Kuala Semantan. Akhirnya, keadaan di Semantan kembali tenang.

Mat Kilau tiba dari Pulau Tawar membawa berita bahawa Clifford tidak berpuas hati dengan askar-askar sultan yang mudik pada hari itu kerana tidak ada seorang pun yang tercedera. Inggeris menganggap bahawa askar-askar sultan telah membuat perjanjian dengan Datuk Bahaman. Clifford mengugut sultan akan dibuang negeri ke mana-mana pulau di Lautan Hindi. Perancangan dilakukan Inggeris apabila Rodger mudik seperahu dengan sultan dan Tengku Ali. Melihatkan kedatangan rombongan tersebut, Tuk Selampit mahu menyumpit tetapi dihalang oleh Datuk Bahaman. Pada malam itu, Datuk Bahaman membuat perancangan dan berjumpa dengan sultan secara sembunyi-sembunyi. Perjanjian dibuat. Askar-askar sultan dan orang-orang Datuk Bahaman akan berpura-pura berlawan dan hanya akan menembak ke udara dalam pertempuran keesokan harinya. Baginda mahu perjuangan itu perjuangan yang penghabisan. Keesokan harinya, askar-askar sultan naik ke darat. Tembak-menembak pun berlaku tetapi semua tembakan menghala ke udara. Tiba-tiba keadaan menjadi kelam-kabut. Paha Mat Lela terkena tembakan askar-askar sultan. Awang Muhammad pula terkena tembakan di dada. Dia tidak dapat diselamatkan. Askar-askar sultan telah mungkir janji. Datuk Panglima Raja menyuruh para pengikutnya mengamuk namun dihalang oleh Datuk Bahaman. Tidak semena-mena Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh berlari ke arah askar-askar sultan untuk menyerah diri. Namun begitu, kedua-duanya telah ditikam oleh askar-askar sultan. Menjelang waktu Zuhur sudah tidak ada tembakan lagi. Perajurit-perajurit Semantan berundur ke Darat Kelubi. Askar-askar sultan bersorak kemenangan.

Pada suatu petang, Mat Kilau datang ke Darat Kelubi untuk menemui Datuk Bahaman. Dia membawa surat yang ditandatangani oleh Sultan Ahmad. Semua pengikut Datuk Bahaman telah diampunkan oleh sultan kecuali Datuk Bahaman. Datuk Bahaman kecewa kerana sultan telah mungkir janji. Namun begitu, Datuk Bahaman tetap berpegang pada janjinya. Datuk Bahaman mudik ke Sungai Tembeling dan bersatu dengan Tuk Gajah dan Mat Kilau.

Tema dan Persoalan
Tema

 Perjuangan dalam membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah.

Persoalan
 Kepentingan kepemimpinan dalam perjuangan menentang penjajah.
 Kerjasama penting dalam perjuangan menentang penjajah.
 Sumbangan dan peranan kaum wanita dalam perjuangan menentang penjajah.
 Sikap segelintir masyarakat yang sanggup bersekongkol dengan pihak Inggeris untuk mendapatkan habuan.
 Ugutan digunakan oleh pihak Inggeris untuk melemahkan orang Melayu.
 Fitnah dijadikan sebagai salah satu strategi Inggeris untuk menjajah orang Melayu.

Watak dan Perwatakan
Datuk Bahaman

 Seorang pahlawan di Semantan.
 Orang Kaya Semantan.
 Seorang pemimpin yang dihormati di Semantan.
 Penyayang.
 Berani.
 Penyabar dan berhati-hati.
 Berpegang pada janji.
 Mempunyai ilmu batin.
 Jujur dalam berjuang.

Zahid (Aku)
 Pemuda yang berjiwa pejuang.
 Pembantu kepada Datuk Bahaman.
 Kawan rapat kepada Samad, Rahman, dan Awang Muhammad.
 Cinta akan negara.
 Berani menentang penjajah Inggeris. Awang Muhammad
 Rakan Zahid.
 Anak bongsu kepada Datuk Bahaman.
 Berjiwa pejuang.
 Berani menentang penjajah Inggeris.
 Cinta akan negara.
 Terbunuh kerana ditembak oleh askar-askar sultan.

Rahman
 Rakan Zahid.
 Jurutulis pelatih kepada Datuk Bahaman.
 Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.

Lajis
 Seorang guru silat.
 Menjadi pengintip kepada Datuk Bahaman.
 Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.
 Bertanggungjawab.

Samad
 Rakan baik Zahid.
 Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.

Mat Kilau
 Anak Tuk Gajah.
 Menjadi orang penting sultan Pahang.
 Sering membawa berita dari istana kepada Datuk Bahaman.
 Berani menentang Inggeris.

Mat Lela
 Anak kepada Datuk Bahaman.
 Abang kepada Awang Muhammad.
 Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.

Plot – Binaan Plot
Permulaan – Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad sedang menuju ke Masjid Lubuk Terua. Zahid terkenang akan sikap Datuk Bahaman yang banyak berubah. Selepas sembahyang, Datuk Bahaman berucap tentang Inggeris yang telah menjajah tanah air mereka.

Perkembangan – Inggeris telah membina kubu di Lubuk Terua. Pak Long Abas mencadangkan supaya mereka bertindak tetapi dihalang oleh Datuk Bahaman dengan alasan persiapan belum cukup. Kira-kira dua minggu kemudian, Zahid ternampak dua buah perahu yang membawa seorang Inggeris dan diapit oleh tiga orang mata-mata Sikh. Samad hendak menyerang mereka tetapi dihalang oleh Awang Muhammad.

Perumitan/Konflik – Pada bahagian ini, berlaku pergaduhan antara Zahid dan rakan-rakannya dengan dua orang pemuda Melayu yang cuba menceroboh isteri Lajis. Datuk Bahaman pula difitnah oleh Inggeris. Inggeris mengatakan bahawa Datuk Bahaman telah menderhaka kepada sultan. Pak Long Abas, Ismail dan Samad ditangkap Desborough. Datuk Bahaman telah menyelamatkan mereka. Sekali lagi Pak Long Abas dan Ismail ditangkap Desborough. Pak Long Abas dapat menyelamatkan diri tetapi Ismail tidak dapat menyelamatkan diri. Datuk Bahaman menyusun strategi perang terhadap Inggeris. Desborough datang dengan lima puluh orang mata-mata Sikh. Mereka telah ditewaskan oleh pasukan Datuk Bahaman. Peperangan telah bermula. Rodger mudik bersama dengan sultan dan Tengku Ali. Datuk Bahaman dalam dilema. Perjanjian dibuat antara sultan dengan Datuk Bahaman. Mengikut perjanjian itu, askar-askar sultan akan menembak ke udara. Perajurit-perajurit Datuk Bahaman juga akan menembak ke udara.

Klimaks – Askar-askar sultan naik ke tebing Pasir Tuk Anjang. Askar-askar itu meniarap dan menghalakan senapang ke atas. Datuk Bahaman mengarahkan para pengikutnya menghalakan senapang ke udara. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila tembakan askar-askar sultan terkena paha Mat Lela. Kemudian, dada Awang Muhammad pula ditembusi peluru askar-askar sultan. Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh berlari ke arah askar-askar sultan untuk menyerah diri. Namun begitu, mereka berdua ditikam oleh ketua askar sultan.

Peleraian – Askar-askar sultan bersorak kemenangan. Datuk Bahaman kecewa kerana sultan telah mungkir janji. Datuk Bahaman sendiri tetap patuh pada janji. Datuk Bahaman meninggalkan Semantan lalu mudik ke Sungai Lembing. Datuk Bahaman bersatu dengan Tuk Gajah dan Mat Kilau.

Plot – Teknik Plot
Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan keadaan Mat Kilau ketika datang ke Masjid di Kampung Semantan.
Teknik dialog. Contohnya, Zahid berbual dengan rakan-rakannya, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad tentang kubu yang akan dibina oleh mereka di Lubuk Sengarat.
Teknik monolog. Contohnya, Zahid bermonolog bahawa perang akan berlaku apabila melihat beberapa orang Inggeris di tebing sungai dan ada antara mereka yang sedang menghalakan muncung senapang ke arah rumah Datuk Bahaman.
Teknik imbas muka. Contohnya, semasa Pak Long Abas dan Pak Uda Ismail pergi memancing ikan dan lambat pulang. Zahid menduga bahawa mereka mungkin ditangkap Inggeris. Ternyata hal itu benar-benar berlaku.
Teknik kejutan. Pembaca terkejut sewaktu Hassan Tahmid membaca utusan daripada sultan, iaitu semua orang Semantan yang bangkit menentang Inggeris diampunkan.

Latar
Latar Tempat

 Daerah Semantan, Pahang.
 Kuala Semantan.
 Lubuk Terua.
 Lubuk Sengarat.
 Batu Hampar.
 Rumah Datuk Bahaman.
 Rumah pasung.
 Sungai Semantan.
 Sungai Tembeling.
 Darat Kelubi.

Latar Masa
 Waktu zuhur.
 Waktu malam.
 Zaman penjajahan Iggeris di Pahang.

Latar Masyarakat
 Masyarakat kampung.
 Masyarakat Melayu yang dijajah.
 Masyarakat yang cinta akan tanah air.
 Masyarakat penjajah Inggeris.
 Masyarakat yang sedang bergolak dalam kancah peperangan.
 Masyarakat yang mengenang budi.
 Masyarakat yang taat akan perintah agama.

Gaya Bahasa
Simile. Contohnya, Burung-burung telah mula menyanyi seolah-olah mengingatkan kaumnya supaya segera bangun memburu rezeki; Semantan ini kalau tidak ada ayahmu, sepertilah anak ayam yang tidak ada ibu; Mereka menggelupur seperti ayam disembelih.

Repetisi. Contohnya, Dalam perjuangan, kita mesti berpadu. Kita mesti sama-sama kuat. Kalau kita saja yang menentang musuh, sedangkan orang lain tidak, kita akan kalah juga.

Personifikasi. Contohnya, Pokok merbau berdarah yang tinggi di situ tegak dan gagah menentang kesejukan pagi; Cahaya bulan sedang bermain di sana sini; Pungguk merindukan bulan.

Peribahasa. Contohnya, Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan; biar pecah di perut, jangan pecah di mulut; hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Inversi. Contohnya, Sementara menunggu waktu isyak, aku dan Samad beredar ke pekarangan Masjid; Di tepi kubu itu, dia memerhatikan keadaan sekelilingi.

Nilai
Pengorbanan. Contohnya, Datuk Bahaman dan para pengikutnya sanggup berkorban untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah.

Menepati janji. Contohnya, Datuk Bahaman menepati janji antara beliau dengan sultan.

Keberanian. Perajurit-perajurit Datuk Bahaman telah berjuang menentang penjajah Inggeris dengan berani.

Ketegasan. Contohnya, Datuk Bahaman sangat tegas sewaktu memimpin pasukan perangnya.

Kebijaksanaan. Contohnya, Datuk Bahaman meregang rantai besi di dalam sungai untuk memerangkap musuh-musuhnya.

Setia kawan. Contohnya, Datuk Bahaman berusaha menyelamatkan orang-orangnya yang ditangkap Inggeris.

Cinta akan negara. Contohnya, Datuk Bahaman dan para pengikutnya sanggup melakukan apa-apa sahaja demi tanah air tercinta.

Kepatuhan. Contohnya, para pengikut Datuk Bahaman patuh akan arahan beliau.

Pengajaran
Kita hendaklah mencintai tanah air kita dengan sepenuh jiwa kita. Contohnya, Datuk Bahaman dan para pengikutnya sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan tanah air yang tercinta.

Kita hendaklah mempunyai ilmu dan kemahiran dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya, Zahid dan rakan-rakannya berlatih silat dan bermain senjata untuk menghadapi Inggeris. Rahmad dan rakan-rakannya berlatih membaling bambu runcing.

Kita hendaklah memiliki sifat kepemimpinan yang baik. Contohnya, Datuk Bahaman mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi dalam memimpin pasukan perajuritnya untuk menentang Inggeris.

Kita hendaklah sentiasa berwaspada dalam bertindak. Contohnya, Datuk Bahaman berhati-hati dalam tindakannya menghadapi penjajah Inggeris.

Kita hendaklah menepati janji. Contohnya, Datuk Bahaman telah menepati janjinya dengan sultan. Datuk Bahaman mengarahkan para pengikutnyanya menembak ke udara semasa bertempur dengan askar-askar sultan.

Novel Darah Titik Di Semantan: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2