Categories
Novel KSSM

Novel Chot

chot

Novel Chot: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis
Alias, murid tahun lima yang meniti arus kehidupan bersama ibunya yang lumpuh. Alias bergantung hidup dengan mengambil upah memetik buah kelapa melalui Chot, beruk peninggalan arwah bapanya yang meninggal dunia kerana terjatuh daripada pokok kelapa lima tahun yang lepas. Apabila Chot hilang pada suatu pagi, Alias telah terlewat hadir ke sekolah. Alias berdegil untuk mencari Chot walaupun berkali-kali ibunya dan sahabat baiknya, Som memujuknya agar mencari Chot selepas waktu persekolahan. Apabila usahanya mencari Chot gagal, Alias mengambil keputusan untuk ke sekolah walaupun dia sudah terlewat dan bakal dimarahi oleh Cikgu Sunan.

Chot ditemuinya ketika perjalanan pulang dari sekolah. Chot bersembunyi di pokok cenerai. Alias berasa gembira dengan penemuan tersebut kerana itulah satu-satunya aset yang dimiliki untuk mencari duit bagi menampung yuran persekolahan dan perbelanjaan harian dia dan ibunya yang lumpuh. Alias dimarahi oleh Cikgu Sunan. Cikgu Sunan menengkingnya sehingga dia terkejut lalu terjatuh. Telinga Alias terkena meja murid. Ekoran peristiwa itu, Alias tidak ke sekolah lebih daripada seminggu. Sepanjang tempoh tersebut, Alias memetik kelapa dengan Chot. Alias memberi alasan kepada ibunya bahawa dia perlu memetik kelapa kerana beras sudah habis. Mak Leha tidak berkata apa-apa walaupun pada mulanya dia curiga.

Alias tidak mahu ke sekolah kerana malu sekiranya kawan-kawan mengejeknya berbau busuk. Namun, Alias akur apabila ibunya mengetahui telinganya bernanah. Setelah seminggu lebih tidak ke sekolah, Cikgu Sunan bertanya kepada Som sebab Alias tidak hadir ke sekolah. Barulah dia tahu, Alias tidak datang ke sekolah kerana sakit telinga. Akhirnya, Cikgu Sunan mengambil keputusan pergi ke rumah Alias dengan bantuan Som. Tambahan lagi, Guru Besar juga menyarankan kepadanya perkara yang sama supaya menyiasat perihal Alias.

Kedatangan Cikgu Sunan disambut baik oleh ibu Alias. Alias juga tidak berdendam dengannya malahan ramah walaupun pada mulanya kelihatan takut-takut. Namun, kedatangan Cikgu Sunan tidak disenangi oleh Chot. Beruk itu sangat marah akan Cikgu Sunan.

Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot melompat dan melonjat kuat sehingga rantai di lehernya terputus. Chot menerkam Cikgu Sunan dan menokak lengan guru itu. Chot tidak mahu melepaskan gigitannya walaupun Cikgu Sunan memukul-mukulnya.

Keadaan menjadi kelam-kabut. Alias tidak tahu tindakan yang perlu diambil kerana Chot itu beruk kesayangannya. Ibunya pula menyuruh menolong Cikgu Sunan. Akhirnya, Alias mengambil lembing berkarat yang berada di bawah rumah lalu merodok mata lembing itu ke perut Chot. Chot mati di tangan Alias. Cikgu Sunan berasa salah dengan Alias. Cikgu Sunan berjanji akan membiayai pendidikan Alias sehingga ke universiti.

TEMA
Kasih sayang sesama makhluk ciptaan Tuhan

PERSOALAN
Hubungan manusia dengan makhluk Tuhan.
Kasih sayang antara manusia dan haiwan.
Kesempitan hidup masyarakat luar bandar.
Kemiskinan menjadi penghalang dalam mengejar impian.
Kepentingan pendidikan dalam hidup.
Sikap anggota masyarakat yang bertindak melulu.

WATAK UTAMA DAN PERWATAKAN
Watak Utama : Alias
Murid tahun lima yang kehilangan bapanya kerana terjatuh dari pokok kelapa.
Murid yang pintar dalam mata pelajaran Matematik – Alias menjadi rujukan Som untuk membuat latihan Matematik.
Anak yang taat akan nasihat ibunya – patuh akan suruhan dan teguran ibunya supaya menunaikan solat dan membaca al-Quran.
Anak yang bertanggungjawab – Alias mengambil alih peranan bapanya. Dia membeli barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.
Berjiwa lembut – berkecil hati dengan sikap Som yang menegur bau telinga yang busuk.
Gigih – Alias membawa buku latihan ke mana-mana sahaja dia pergi walaupun ketika memetik kelapa.
Tidak berdendam – Alias melayan Cikgu Alias dengan ramah ketika kunjungan guru kelas itu ke rumahnya sekalipun Cikgu Alias menengkingnya sehingga dia jatuh terlentang di dalam kelas sehingga telinganya terkena bucu meja murid.

WATAK SAMPINGAN DAN PERWATAKAN

Watak Sampingan :
1. Chot
Beruk peninggalan arwah bapa Alias.
Sangat sayang akan tuannya, Alias.
Patuh akan arahan tuannya.

2. Cikgu Sunan
Tinggi dan berbadan sederhana besar.
Guru kelas tahun lima.
Guru mata pelajaran Matematik.
Garang – Cikgu Sunan cepat melenting apabila murid-murid tahun lima tidak dapat menjawab soalan Matematik dan kerja rumah pelajaran Matematik tidak siap.
Benci akan Alias.
Menyesal atas perlakuannya yang tidak memberi layanan sebaiknya kepada Alias.

3. Leha
Ibu Alias.
Ibu yang menitikberatkan pendidikan agama – menegur Alias apabila terdapat kesalahan membaca doa qunut dan kesalahan dalam solat-solat lain. Malahan, selalu mengingatkan Alias tentang kewajipan menunaikan solat.
Ibu yang menitikberatkan pendidikan sekular – mengingatkan Alias tentang kepentingan ilmu pengetahuan apabila Alias ponteng sekolah terlalu lama.

4. Som
Murid tahun lima.
Sahabat baik Alias.
Takut akan Cikgu Sunan.
Lemah dalam mata pelajaran Matematik.
Suka bergurau.
Prihatin akan nasib Alias.
Baik hati.

5. Mak Su Kiah
Berbadan sedikit gempal dan berambut panjang.
Baik hati – memberi makanan tengah hari untuk Alias dan ibunya.

6. Pak Din
Bapa Som
Kematian isteri
Baik hati – banyak membantu ketika Alias dalam kesusahan.

Latar Tempat
1. Kampung Dingin,
iaitu sebuah kampung tepi hutan yang sangat terpencil, tempat Alias dilahirkan.

2. Rumah Alias
Som belajar mengaji al-Quran. Som juga belajar membuat latihan Matematik yang diberikan oleh Cikgu Sunan daripada Alias. Mak Su Kiah menghantar makanan kepada Alias dan ibunya.

3. Halaman perhimpunan
Ketika Som tiba lewat kerana menunggu Alias, perhimpunan sekolah diadakan. Guru pengawas pada minggu itu ialah Cikgu Sunan. Cikgu Sunan menyentuh beberapa isu, iaitu kenakalan murid yang mencalarkan kereta guru dan sampah sarap yang dibuang merata-rata.

4. Bilik darjah lima
Cikgu Sunan, iaitu guru kelas tahun lima mengajar Matematik. Cikgu Sunan menengking Alias kerana Alias seperti menyindirnya ketika datang lewat ke sekolah dengan alasan beruk.

5. Rumah Pak Din
Alias meminta tolong Pak Din membeli ubat batuk ibunya di samping memberitahu Pak Din tentang bilangan biji kelapa yang dipetik serta bertanya kepada Som akan hal di sekolah. Alias mengambil dan menyalin nota rumah yang diberikan oleh Cikgu Sunan.

6. Sungai
Alias membawa Chot mandi di sungai.

7. Kebun kelapa Pak Din
Alias dan Chot memetik kelapa.

8. Kedai Ah Chai
Alias membeli pisang untuk Chot.

Latar Masa
1. Pagi
Ada perhimpunan sekolah.
Cikgu Sunan mengajar Matematik.
Alias dan Chot memetik kelapa.
2. Tengah hari
Mak Su Kiah menghantar nasi bersama gulai kepada Alias dan ibunya serta bertanya khabar sebelum pulang ke rumah.

3. Petang
Alias memandikan Chot di sungai di belakang rumah Som. Alias dan Som belajar membaca al-Quran daripada emak Alias. Som belajar membuat latihan Matematik daripada Alias

Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup
Alias tidak pernah merungut hidup dalam kemiskinan.

2. Masyarakat yang berdikari
Alias berusaha menyara yuran persekolahannya dengan mengambil upah memetik buah kelapa.

3. Masyarakat ibu bapa yang mengimpikan kejayaan anak-anak
Leha ingin melihat kejayaan Alias. Oleh hal demikian, Leha mengingatkan kepentingan pendidikan agama dan pendidikan sekular.

4. Masyarakat kampung yang hidup dalam kemiskinan
Hidup Alias dan ibunya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Alias mencari wang untuk menampung keperluan harian dengan mengambil upah memetik kelapa di kebun Pak Din.

5. Masyarakat yang mementingkan pendidikan agama
Ibu Alias, Leha mengajar anaknya membaca al-Quran dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh Alias dalam bacaan solat.

6. Masyarakat yang mementingkan pendidikan sekular
Ibu Alias menegur Alias yang tidak ke sekolah terlalu lama.

7. Masyarakat yang bertanggungjawab
Alias mengambil alih tugas arwah bapanya yang meninggal lima tahun lalu kerana jatuh pokok kelapa. Dia membeli barang keperluan dapur seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.

8. Masyarakat yang jujur
Alias memberitahu perihal sebenar kelewatan ke sekolah berpunca daripada mencari beruk kesayangannya yang hilang.

9. Masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan
Alias membawa sahaja ke mana-mana buku latihan.

10. Masyarakat yang berprasangka
Miah menuduh Chot merosakkan kebun pisang miliknya.

11. Masyarakat yang gigih berusaha mencapai kejayaan
Som berusaha belajar Matematik daripada Alias.

12. Masyarakat yang baik hati
Mak Su Kiah mengambil tahu kebajikan Alias dan Leha.


TEKNIK PLOT
1. Pemerian
Perihal keadaan rumah Alias. Rumah itu sangat buruk dan usang. Atap pun dibuat daripada daun rumbia yang sudah reput – bocor di sana sini kalau hujan lebat.

2. Dialog
Dialog antara Alias dengan Cikgu Sunan “Haa, kalau dah putus rantai, apa kamu buat? Kamu bela berukkah?” “Dia hilang. Saya carinya, cikgu. Sebab tu saya lambat sampai.” “Kalau Chot tidak ada, bagaimana mahu mengambil upah memetik buah kelapa?” fikirnya. Siapakah yang akan membiayainya ke sekolah.

3. Imbas kembali
Perihal Som teringat Cikgu Sunan bersungut-sungut apabila pintu depan keretanya calar. Tiba-tiba som terasa ditolak oleh Hasnah dari belakang. Barulah Som tersedar yang dia sedang mengelamun kisah kelmarin. Som tidak mendengar apa-apa yang diucapkan oleh Cikgu Sunan tadi.

4. Saspens
Peristiwa Budin tergesa-gesa ke rumah Alias untuk memberitahu bahawa beruk yang merosakkan kebun pisang Miah, iaitu Chot mati ditembak. Peristiwa lengan Cikgu Sunan ditokak oleh Chot.

Plot Binaan
1. Permulaan
Beruk Alias, Chot hilang. Alias menangis. Dia tidak pergi ke sekolah. Usaha ibunya dan Som memujuknya supaya mencari Chot selepas waktu persekolahan gagal.

2. Perkembangan
Alias mengambil keputusan pergi ke sekolah selepas gagal mencari Chot. Di sekolah, Alias telah diherdik dan ditengking oleh Cikgu Sunan.

3. Perumitan
Cikgu Sunan bertempik sehingga Alias terdorong ke belakang dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena meja murid. Rentetan peristiwa itu, Alias tidak pergi ke sekolah lebih daripada seminggu kerana telinganya bernanah. Alias malu dan takut diejek oleh kawan-kawannya. Alias tidak menceritakan hal sebenar yang berlaku kepada ibunya di sekolah.

4. Kemuncak
Cikgu Sunan pergi ke rumah Alias. Kedatangannya ke situ tidak disenangi oleh beruk Chot. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot melompat dan melonjat kuat sehingga rantai di lehernya terputus. Chot menerkam Cikgu Sunan dan menokak lengan guru itu. Chot tidak mahu melepaskan gigitannya walaupun Cikgu Sunan memukul-mukulnya. Keadaan menjadi kelam-kabut. Alias tidak tahu tindakan yang perlu diambil kerana Chot ialah beruk kesayangannya.

5. Peleraian
Alias mengambil lembing berkarat yang berada di bawah rumah lalu merodok mata lembing itu ke perut Chot. Chot mati di tangan Alias. Cikgu Sunan serba salah dengan Alias. Cikgu Sunan berjanji akan membiayai pendidikan Alias sampai ke universiti.

GAYA BAHASA
1. Simile
Seperti diasap kemenyan
macam batang pinang subur
macam singa lapar
macam tongkang karam
bagaikan biji saga yang kemerah-merahan
macam kapal terbang
seperti terkena pukau
seperti kambing takut akan air
busuk macam bangkai
macam hantu
seperti dirasuk hantu

2. Epifora
Apabila Cikgu Sunan sudah naik minyak, semua murid jadi takut. Som juga takut. Alias juga takut. Budin hairan. Miah hairan. Mak Su Kiah hairan. Pak Din juga hairan.

3. Anafora
Ada sawah, ada rimbunan pokok buluh, ada rimbunan pokok pisang tetapi pokok kelapalah yang paling banyak. Chotnya berbulu cering. Chotnya bergigi putih tajam. Chotnya suka menyeringai. Chotnya ada gelang di leher tetapi semua itu tidak terkata olehnya.

4. Hiperbola
Daun-daun yang kebasahan itu tunduk malu kerana sedikit berat oleh embun yang menimpanya semalam.
Panas mulai pecah.
Suara itu membelah sepi kampung.
Terasa sakit pada dagu dan rahang menjalar ke telinga
Angin malam di kampung itu bagaikan mati
Benarlah malam sudah merangkak perlahan-lahan

5. Sinkope
dah
mak
tu
dah
ni

6. Bahasa Inggeris
netball
jeans
t-shirt

7. Bahasa Arab
Bismillah
Assalamualaikum
Alhamdulillah
Waalaikumussalam

8. Peribahasa
naik minyak
mandi kerbau
naik angina

NILAI
1. Jujur
Alias bercakap benar kepada Cikgu Sunan sebab dia datang lewat ke sekolah.

2. Taat kepada perintah agama
Alias dan ibunya menunaikan kewajipan sebagai hamba-Nya dengan mendirikan solat dan membaca al-Quran.

3. Bertanggungjawab
Alias mencari rezeki dengan mengambil upah memetik buah kelapa di kebun Pak Din. Wang yang diperoleh digunakan untuk membeli barang dapur seperti beras, kopi dan ikan.

4. Rajin
Som belajar Matematik daripada Alias.

5. Baik hati
Mak Su Kiah memberi makanan tengah hari, iaitu nasi dengan semangkuk gulai atau sayur kepada Alias dan Leha.

6. Keinsafan
Cikgu Sunan insaf atas kesilapannya yang tidak memberi perhatian yang sepatutnya kepada Alias.

7. Berdikar
Alias berdikari mencari rezeki dengan mengambil upah memetik buah kelapa.

8. Reda
Leha reda dia lumpuh dan tidak dapat melakukan sebarang kerja.

9. Keikhlasan
Som ikhlas berkawan dengan Alias tatkala rakan-rakan lain mengejek Alias. Som juga bersusah hati sekiranya Alias dimarahi oleh Cikgu Sunan kerana lewat ke sekolah.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah membantu antara satu sama lain.
Contohnya, Mak Su Kiah membantu Alias dan ibunya, iaitu menghantar nasi dengan lauk atau sayur pada waktu tengah hari.

2. Kita hendaklah mendengar nasihat ibu bapa.
Contohnya, Alias mendengar nasihat ibunya supaya menunaikan solat.

3. Kita hendaklah insaf apabila menyedari kesilapan yang telah dilakukan.
Contohnya, Cikgu Sunan menyesali segala tingkah lakunya terhadap Alias.

4. Kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah takdir hidup.
Contohnya, Alias belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu pengetahuan penting untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik.

5. Kita tidak seharusnya berdendam.
Contohnya, Alias tidak berdendam dengan Cikgu Sunan. Alias melayan gurunya itu dengan ramah walaupun Cikgu Sunan pernah mengherdik dan menengkingnya.

6. Kita hendaklah menerima takdir Tuhan dengan hati yang terbuka.
Contohnya, ibu Alias reda apabila lumpuh.

7. Kita hendaklah jujur dalam kehidupan.
Contohnya, Alias jujur memberitahu Cikgu Sunan sebab kelewatannya ke sekolah berpunca daripada beruk.

Novel Chot: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 3