Categories
Drama

Drama Tenang-Tenang Air Di Tasik

Drama Tenang-Tenang Air Di Tasik: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis Drama Tenang-Tenang Air Di Tasik
Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar yang memberitahu ibunya tentang kerelaannya untuk melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana dia bimbang akan keselamatan anak tunggalnya itu. Menurut ibunya lagi, tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih kumpulan peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang bercuti. Muzafar juga berjanji untuk menjaga keselamatannya sepanjang empat hari tiga malam dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa hairan apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya melatih kumpulan orang cacat penglihatan sedangkan ibu Muzafar merupakan seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu menyayanginya sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak sedemikian.

Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan, memberi tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul dan cara-cara memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.

Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di beranda chalet. Dalam perbualan mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir berasa kecewa terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka.

Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai yang telah ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada Azizi dan Muzafar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi tersebut. Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee Keong yang turut membantu untuk memudahkan ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah kesabaran yang tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu berkayak dengan begitu baik.

Dalam perbualan antara Muzafar, Haris, dan Nurul, Muzafar dapat mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar membelek mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir. Azizi menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi wajah dan perawakan. Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi berkayak di Tasik Permai selama empat hari tiga malam bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur apabila anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-sama para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan oleh anaknya, Muzafar.

Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang perasaannya sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

Tema dan Persoalan Drama Tenang-Tenang Air Di Tasik
Tema

Sikap prejudis segelintir masyarakat terhadap golongan kelainan upaya.

Persoalan
(a) Keberanian melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.
(b) Kerjasama yang utuh dalam melakukan sesuatu aktiviti.
(c) Kasih sayang pengikat hubungan kekeluargaan.
(d) Kepentingan sikap bertoleransi dalam melaksanakan tugas.
(e) Kegigihan dalam mempelajari ilmu baharu.

Watak dan Perwatakan
Muzafar
(a) Anak tunggal dalam keluarga.
(b) Dia mempunyai wajah dan perawakan yang seiras dengan Muzamir.
(c) Bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya bekas seorang pegawai.
(d) Bekerja di sebuah tempat peranginan yang bernama Permai Resort.
(e) Amanah dan bertanggungjawab.
(f) Rasional dan berpendirian tegas dalam membuat keputusan.
(g) Penyayang.
(h) Gigih dalam melakukan sesuatu perkara.

Muzamir
(a) Sebaya dan seiras dengan Muzafar dari segi wajah dan perawakan.
(b) Berasal daripada sebuah keluarga yang kaya dan ternama di Kelantan tetapi ketika berusia tiga bulan, dia telah diserahkan kepada keluarga angkat di Johor disebabkan dia dilahirkan buta.
(c) Gigih menjalani latihan berkayak.
(d) Mengenang budi.
(e) Tabah dengan kecacatan matanya yang buta itu.

Ibu Muzafar
(a) Balu yang kematian suami.
(b) Seorang yang pandai bergaya moden.
(c) Mantan pegawai dan kini bergiat aktif dalam pertubuhan sukarela Jawatankuasa Kaum Ibu.
(d) Seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh.
(e) Penyayang.
(f) Pandai menyimpan rahsia.
(g) Bersifat pilih kasih dalam membesarkan anak-anak.
(h) Mementingkan status dan maruah keluarga

Latar
Latar Tempat

(a) Rumah batu mewah.
(b) Tasik Permai.
(c) Pekarangan Permai Resort.
(d) Studio, Permai Resort.

Latar Masa
(a) Waktu pagi.
(b) Waktu siang.
(c) Waktu malam.
(d) Empat hari tiga malam.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang mengamalkan sikap bertolak ansur dan bertoleransi dalam melaksanakan tugas.
(b) Masyarakat penyayang terhadap ahli keluarganya.
(c) Masyarakat yang berani melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.
(d) Masyarakat yang bekerjasama dan bantu-membantu dalam menjayakan ekspedisi berkayak.
(e) Masyarakat golongan berada dan ternama yang mementingkan kedudukan dan maruah keluarga.
(f) Masyarakat golongan kelainan upaya yang gigih mempelajari ilmu baharu untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.
(g) Masyarakat yang bertanggungjawab dalam memikul tugas.
(h) Masyarakat yang berhemah tinggi.

Plot
Binaan Plot

(a) Pengenalan –
Muzafar memberitahu ibunya berkaitan dengan tugasnya yang akan melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan untuk berkayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

(b) Perkembangan –
Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan dengan baik dan mesra. Mereka terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Keesokannya, Azizi dan Muzafar mula memberi tunjuk ajar dan melatih peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul. Azizi dan Muzafar dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul dan Haris.

(c) Perumitan
Muzamir meluahkan rasa kecewanya terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya disebabkan dia merupakan orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan sangat gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka. Muzafar mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar pulang ke rumah setelah program selama empat hari tiga malam bersama-sama dengan Muzamir dan rakan-rakannya tamat.

(d) Klimaks
Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai oleh para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan itu.

(e) Peleraian
Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang suatu perasaan lain yang dirasainya sewaktu dia membantu Muzamir apabila kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

Teknik Plot
(a) Pemerian.
(b) Dialog.
(c) Imbas kembali.
(d) Imbas muka.
(e) Monolog.
(f) Kejutan.
(g) Saspens.

Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Insya-Allah; Assalamualaikum.
(b) Bahasa Inggeris. Contohnya; rafting; commando rescue; water confidence.
(c) Metafora. Contohnya, lautan mimpi.
(d) Sinkope. Contohnya, Habis tu, kenapa Zam tak dapat tidur?
(e) Repetisi. Contohnya, Tidak … tidak … tidak.
(f) Peribahasa. Contohnya, Tak ada beban, batu digalas; mati akal;
ambil hati; sampai hati; jantung hati.

Nilai
(a) Kerjasama.
(b) Baik hati.
(c) Bertanggungjawab.
(d) Berhemah tinggi.
(e) Kasih sayang.
(f) Keberanian.
(g) Kegigihan.
(h) Kesabaran.
(i) Rasional.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah bijak menyusun sesuatu aktiviti ketika memberi latihan kepada orang lain.
(b) Kita mestilah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
(c) Kita hendaklah gigih mempelajari ilmu baharu tanpa menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang.
(d) Kita janganlah memandang rendah terhadap orang kelainan upaya.
(e) Kita mestilah berpendirian tegas dalam membuat keputusan.
(f) Kita perlulah menanamkan sifat sabar ketika membimbing orang kelainan upaya.
(g) Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati.
(h) Kita hendaklah berani mengambil keputusan untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.
(i) Kita mestilah mengamalkan sikap kerjasama dalam menjalankan aktiviti berpasukan.

Drama Tenang-Tenang Air Di Tasik: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 3