Categories
Drama

Drama Hadiah

Drama Hadiah: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis Drama Hadiah
Fauziah yang kematian suaminya, Sarjan Akhbar berdepan dengan kesempitan hidup. Dia dan dua orang anaknya, iaitu Hayati dan Farid terpaksa bergantung hidup dengan bapanya, Pak Mail seorang pesara. Berikutan kesempitan hidup itu, Yati yang belajar di Sekolah Menengah Seri Setia, Melaka dan duduk di asrama mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Hal ini demikian kerana Yati masih berhutang dengan pihak sekolah sebanyak empat puluh ringgit.

Sewaktu Pak Mail sedang berbual dengan Fauziah tentang nasib hidup keluarga mereka, Yati pun sampai. Yati bertanyakan khabar ibu dan datuknya. Pak Mail mengatakan bahawa dia telah berunding dengan Datuk Penghulu berhubung dengan masalah mereka. Yati memberitahu ibu dan datuknya bahawa dia telah memaklumkan masalahnya kepada pengetua. Selepas itu, Yati masuk ke dalam bilik. Pak Mail dan Fauziah meneruskan perbualan mereka dua beranak.

Tiba-Tiba, Datuk Penghulu datang bersama dengan Encik Musa dari Kementerian Pertahanan. Encik Musa mengatakan bahawa kedatangan beliau adalah untuk menyampaikan penghargaan negara kepada keluarga Sarjan Akhbar. Selepas itu, Encik Musa pun menyampaikan cek berjumlah sepuluh ribu kepada Fauziah bagi menyara persekolahan anak-anak Sarjan Akhbar. Selepas penyerahan cek itu, Encik Musa dan Datuk Penghulu ingin pulang. Tiba-tiba, Yati muncul. Pak Mail memberitahu Yati bahawa dia akan dihantar ke asrama semula dan meminta Yati belajar rajin-rajin. Yati bertanya kepada datuknya adakah dia boleh belajar semula. Encik Musa mengiyakan dan menasihati Yati agar belajar rajin-rajin. Kemudian Encik Musa minta diri. Pak Mail bersalaman dan mengucapkan ucapan terima kasih. Pak Mail menghantar Datuk Penghulu dan Encik Musa ke pintu.

Tema
Kesempitan hidup.

Persoalan
(a) Kesedihan dan kesempitan hidup akibat kematian suami.
(b) Kasih sayang bapa yang sanggup memelihara anaknya yang kematian suami.
(c) Tanggungjawab seorang ketua yang sanggup membantu anak buahnya yang susah.
(d) Keprihatinan kerajaan akan nasib keluarga kakitangannya yang menghadapi musibah menerusi pemberian bantuan.
(e) Berfikiran positif dan reda terhadap nasib diri.

Watak dan Perwatakan
Pak Mail
(a) Bapa kepada Fauziah.
(b) Mempunyai dua orang cucu, iaitu Hayati dan Farid.
(c) Bertanggungjawab.
(d) Gigih membantu anak dan cucunya yang susah.
(e) Pandai memberikan nasihat.
(f) Seorang yang bersopan santun.

Hayati
(a) Murid sekolah.
(b) Anak yang bersopan santun.
(c) Seorang yang berterus terang.
(d) Berani membuat keputusan.

Fauziah
(a) Balu kepada Sarjan Akhbar.
(b) Mempunyai dua orang anak.
(c) Penyedih.

Latar Masa
(a) Lebih kurang dua bulan.
(b) Hari ini.
(c) Waktu petang.

Latar Tempat
(a) Di ruang tamu rumah Pak Mail.
(b) Di Sekolah Menengah Seri Setia, Melaka.
(c) Di pintu rumah Pak Mail.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat ibu tunggal yang memelihara anaknya tanpa suami.
(b) Masyarakat perajurit yang sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan tanah air.
(c) Masyarakat yang terdiri daripada golongan tua yang sudah berpencen.
(d) Masyarakat pemimpin yang bertanggungjawab terhadap anak buahnya.
(e) Masyarakat pelajar.

Plot – Binaan Plot
(a) Permulaan – Fauziah membaca surat anaknya, Yati yang bersekolah dan tinggal di asrama Sekolah Menengah Seri Setia, Melaka. Dalam surat itu, Yati memberitahu bahawa dia akan pulang ke rumah kerana tidak mahu menambah masalah kewangan keluarga mereka.

(b) Perkembangan – Pak Mail, iaitu datuk Yati datang dari dapur dan berbual-bual akan nasib keluarga Fauziah. Pak Mail mengatakan bahawa kesempitan hidup yang dihadapi telah dibincang dengan Datuk Penghulu. Yati yang baru pulang dari asrama bertanyakan khabar ibu dan datuknya. Yati menjelaskan bahawa dia telah menceritakan masalah kehidupannya kepada pengetua. Kemudian, Yati masuk ke dalam bilik. Pak Mail dan Fauziah menyambung semula perbualan mereka tentang kematian Sarjan Akhbar. Fauziah kehilangan suami, dia kehilangan menantu, dan Sarjan Akhbar tidak sempat melihat anak bongsunya, Farid. Namun begitu Pak Mail bangga kerana Sarjan Akhbar mati sebagai seorang pahlawan.

(c) Klimaks – Datuk Penghulu datang bersama-sama Encik Musa, iaitu pegawai daripada Kementerian Pertahanan. Encik Musa mengatakan bahawa beliau ada tugas datang ke rumah Pak Mail.

(d) Peleraian – Encik Musa menyampaikan penghargaan berupa cek bernilai sepuluh ribu ringgit kepada Fauziah sebagai balu Sarjan Akhbar. Pak Mail memberitahu Yati bahawa Yati boleh bersekolah semula.

Plot – Teknik Plot
(a) Pemerian.
(b) Dialog.
(c) Imbas kembali.
(d) Saspens.
(e) Imbas muka.

Gaya Bahasa
(a) Bahasa Indonesia. Contohnya, beres.
(b) Bahasa Arab. Contohnya, ikhtiar.
(c) Bahasa istana. Contohnya, bonda; ayahanda; anakanda.
(d) Hiperbola. Contohnya, Fauziah menangis teresak-esak. Sekali-sekala kelihatan bahunya bergoncang.
(e) Perulangan perkataan. Contohnya, PAK MAIL : Ha, itu pun Yati! Yati, esok datuk akan hantar Yati ke asrama semula. Yati mesti belajar rajin-rajin.
(f) Peribahasa. Contohnya, Baginya hutang darah perlu dibayar dengan darah; menegakkan benang yang basah; masuk campur.

Nilai
(a) Bertanggungjawab.
(b) Pasrah.
(c) Keprihatinan.
(d) Kesopanan.
(e) Kejujuran.

Pengajaran
(a) Kita harus bertanggungjawab terhadap amanah supaya kita berdosa.
(b) Kita harus reda dengan nasib kehidupan kita.
(c) Kita mesti prihatin akan nasib orang di bawah tanggungjawab kita agar mereka terbela.
(d) Kita mesti bersopan santun terhadap orang lain.
(e) Kita mesti bersikap jujur supaya tidak berlaku salah faham.

Drama Hadiah: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 1