Categories
Cerpen

Cerpen Menuai Emas

Cerpen Menuai Emas: Sinopsis, Tema & Persoalan. Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Sinopsis Cerpen menuai emas
Alif terkenang akan perbualan dia dengan ayahnya suatu ketika dahulu. Alif berkata bahawa kuning padi seperti emas. Kata ayah Alif, kalau berbudi kepada tanah, mereka akan menuai emas nanti. Alif berbisik bahawa tidak lama lagi dia akan menuai emas. Alif terkenang kata-kata emaknya pula. Alif mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana emaknya telah mendidiknya tentang makna syukur, sabar, dan reda.

Alif tersedar daripada lamunan apabila mendengar bunyi hon motosikal. Tuk Ketua yang menunggang motosikal tersebut menyapa Alif. Tuk Ketua bertanyakan waktu jentera tuai padi akan sampai kepada Alif. Alif menjawab bahawa jentera tersebut akan sampai pada hari esok. Kerja menuai padi pun akan dimulakan esok.

Alif menyusuri permatang sawah yang sangat bernilai baginya. Alif teringat akan peristiwa setahun yang lalu. Alif berbalah dengan Abang Man di rumahnya. Abang Man dan beberapa orang pemilik tanah sawah yang bakal dibangunkan taman perumahan datang ke rumah Alif. Mereka tidak berpuas hati atas tindakan Alif yang tidak mengizinkan dua petak sawahnya dijadikan taman perumahan. Kebanyakan pemilik tanah sawah yang berkenaan telah bersetuju untuk melepaskan tanah masing-masing. Abang Man meminta Mak Wan, iaitu emak Alif menasihati Alif supaya bersetuju untuk menjual petak sawahnya kepada syarikat perumahan. Abang Man dengan sinis berkata bahawa masakan lulusan universiti dalam bidang ekonomi seperti Alif mahu membuat kerja kampung. Abang Man turut mengatakan bahawa mungkin Alif tidak lulus dalam peperiksaan. Oleh sebab itulah, dia berkeras mahukan dua petak sawah tersebut. Emak Alif dan Tuk Ketua terkejut apabila mendengar kata-kata Abang Man itu. Akhirnya, emak Alif bersuara. Dia menyuruh mereka yang berkumpul di rumahnya itu pulang dahulu. Dia akan berbincang secara anak-beranak dengan Alif.

Emak Alif menangis. Alif memberitahu emaknya bahawa dia akan melepaskan dua petak sawah tersebut jika itulah kemahuan emaknya. Emak Alif menegaskan bahawa dia tidak mahu Alif melepaskan dua petak tanah tersebut. Alif bertekad untuk mempertahankan dua petak sawah berkenaan walau dengan apa-apa cara sekalipun. Bagi Alif, mengerjakan tanaman padi juga merupakan sesuatu yang dapat membawa kemajuan. Namun begitu, Alif terfikir juga bahawa kebanyakan pemilik petak sawah yang hendak dijadikan tapak perumahan itu rata-ratanya sudah tidak bertenaga lagi. Anak-anak mereka yang kebanyakannya bekerja di bandar tidak mahu menyambung tugas mereka.

Wajah Abang Man muncul dalam benak Alif. Dua petak sawah Alif bersempadan dengan petak sawah Abang Man. Jika Alif tidak mahu melepaskan dua petak sawahnya, petak Abang Man pun akan bermasalah. Oleh sebab itulah, Abang Man marah kepada Alif. Alif tidak dapat memahamkan Abang Man bahawa dia sendiri sedang mengerjakan sesuatu yang juga dinamakan kemajuan. Lamunan Alif terhenti. Alif menarik nafas dalam-dalam di tengah petak sawah padi yang sedang menguning. Alif berasa puas dan bersyukur kerana dia semakin memahami makna kemajuan yang mahu dibawanya.

Alif teringat akan perbualannya dengan seorang pegawai pertanian. Pegawai pertanian tersebut menasihati Alif supaya tidak memandang rendah terhadap bidang pertanian. Menurut beliau lagi, mereka tidak perlu membeli beras dari luar jika mengusahakan tanah sendiri dengan sungguh-sungguh. Kata-kata motivasi pegawai pertanian itu terpahat dalam hati Alif. Alif berazam untuk membawa kemajuan dalam penanaman padi.

Tuk Ketua turut bersama-sama Alif menyusuri sawah padi yang sedang menguning. Segala pengorbanan Alif tidak sia-sia. Alif teringat akan peristiwa Abang Man dan beberapa orang jiran sekampung menyerang rumahnya. Abang Man menyalahkan Alif kerana projek perumahan itu dibatalkan. Namun demikian, Alif mengatakan bahawa dia hanya berdoa kepada Allah agar projek perumahan itu dibatalkan. Jika doanya itu salah, Alif meminta Abang Man membuat laporan polis. Abang Man tergamam dengan kata-kata Alif itu. Alif juga meminta restu daripada semua tuan tanah itu bahawa dia akan menjadikan petak-petak sawah tersebut sebagai estet padi.

Projek estet padi mini yang berkeluasan 58.609 hektar dengan penglibatan 15 orang tuan tanah itu kini semakin menampakkan hasil. Usaha Alif berjaya berkat berbudi kepada tanah. Alif tetap bersabar menunggu hari esok untuk menuai emas.

Tema dan Persoalan
Tema

Kemajuan dalam bidang pertanian, iaitu penanaman padi.

Persoalan
(a) Penjualan tanah sawah untuk dijadikan projek perumahan.
(b) Bidang pertanian, iaitu penanaman padi jika diusahakan dengan betul dapat mendatangkan kemajuan ekonomi.
(c) Ilmu, kegigihan, dan ketekunan yang diiringi dengan doa dan kesabaran akan menghasilkan kejayaan.
(d) Lulusan universiti tidak semestinya bekerja makan gaji.
(e) Kebanyakan golongan muda dari kampung sudah tidak berminat untuk mengusahakan penanaman padi.
(f) Muafakat membawa berkat.

Watak dan Perwatakan
Alif
(a) Anak kepada Mak Wan.
(b) Lulusan universiti dalam bidang ekonomi.
(c) Seorang anak muda yang berwawasan tinggi.
(d) Seorang yang sabar, reda, dan senantiasa bersyukur.
(e) Berani menghadapi cabaran.
(f) Yakin akan kebolehan diri.
(g) Seorang anak yang menghormati ibu bapa.
(h) Terlalu sayang akan emak dan ayahnya.
(i) Seorang yang positif dan optimistik.
(j) Seorang petani moden.

Mak Wan
(a) Ibu kepada Alif.
(b) Seorang yang penyabar.
(c) Tegas.
(d) Teguh pendirian.
(e) Sayang akan tanah milik keluarganya.
(f) Sensitif.

Tuk Ketua
(a) Penyabar.
(b) Berhemah tinggi.
(c) Tenang ketika menghadapi masalah.
(d) Mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang baik.
(e) Sentiasa menyokong hasrat murni Alif.

Abang Man
(a) Seorang yang agresif.
(b) Tidak berhemah.
(c) Gemar menggunakan kata-kata kesat.
(d) Bersikap terburu-buru.
(e) Tidak berfikiran jauh.

Plot – Binaan Plot Cerpen menuai emas
(a) Permulaan – Alif terkenang akan perbualan dia dengan ayahnya suatu ketika dahulu. Alif berkata bahawa kuning padi seperti emas. Kata ayah Alif, kalau berbudi kepada tanah, mereka akan menuai emas nanti. Alif berbisik bahawa tidak lama lagi dia akan menuai emas. Alif terkenang akan kata-kata emaknya pula. Alif mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana emaknya telah mendidiknya tentang makna syukur, sabar, dan reda. Alif tersedar daripada lamunan apabila mendengar bunyi hon motosikal. Tuk Ketua yang menunggang motosikal tersebut menyapa Alif. Tuk Ketua bertanyakan waktu jentera tuai padi akan sampai. Alif menjawab bahawa jentera tersebut akan sampai pada hari esok. Kerja menuai padi pun akan dimulakan esok.

(b) Perkembangan – Alif teringat akan peristiwa setahun yang lalu. Alif berbalah dengan Abang Man di rumahnya. Abang Man dan beberapa orang pemilik tanah sawah yang bakal dibangunkan taman perumahan datang ke rumah Alif. Mereka tidak berpuas hati atas tindakan Alif yang tidak mengizinkan dua petak sawahnya dijadikan taman perumahan. Kebanyakan pemilik tanah sawah yang berkenaan telah bersetuju untuk melepaskan tanah masing-masing. Abang Man meminta Mak Wan, iaitu emak Alif menasihati Alif supaya bersetuju untuk menjual petak sawahnya kepada syarikat perumahan. Abang Man dengan sinis berkata bahawa masakan lulusan universiti dalam bidang ekonomi seperti Alif mahu membuat kerja kampung. Abang Man turut mengatakan bahawa mungkin Alif tidak lulus dalam peperiksaan. Oleh sebab itulah, dia berkeras mahukan dua petak sawah tersebut. Emak Alif dan Tuk Ketua terkejut apabila mendengar kata-kata Abang Man itu. Akhirnya, emak Alif bersuara. Dia menyuruh mereka yang berkumpul di rumahnya itu pulang dahulu. Dia akan berbincang secara anak-beranak dengan Alif. Seterusnya, Alif teringat pula akan perbualannya dengan pegawai pertanian. Pegawai itu menasihati Alif agar tidak memandang ringan terhadap bidang pertanian.

(c) Klimaks – Alif teringat akan peristiwa Abang Man dan beberapa orang jiran sekampung menyerang rumahnya. Abang Man menyalahkan Alif kerana projek perumahan itu dibatalkan. Namun demikian, Alif memberitahu bahawa dia hanya berdoa kepada Allah agar projek perumahan itu dibatalkan. Jika doanya itu salah, Alif meminta Abang Man membuat laporan polis. Abang Man tergamam dengan kata-kata Alif itu. Alif juga meminta restu daripada semua tuan tanah itu bahawa dia akan menjadikan petak-petak sawah tersebut sebagai estet padi.

(d) Peleraian – Projek estet padi mini yang berkeluasan 58.609 hektar dengan penglibatan 15 orang tuan tanah itu kini semakin menampakkan hasil. Usaha Alif berjaya berkat berbudi kepada tanah. Alif tetap bersabar menunggu hari esok untuk menuai emas.

Plot – Teknik Plot
(a) Dialog.
(b) Pemerian.
(c) Imbas kembali.

Latar
Latar Tempat

a) Petak Bendang
b) Anjung rumah Alif.
c) Petak-petak sawah di Seberang Perak.

Latar Masa
a) Waktu awal pagi
b) Setahun yang lalu

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat golongan petani.
(b) Masyarakat yang berilmu.
(c) Masyarakat yang agresif.
(d) Masyarakat yang berhemah tinggi.
(e) Masyarakat yang berfikiran positif.
(f) Masyarakat yang mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi.

Gaya Bahasa
Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Alhamdulillah; Insya-Allah.
(b) Metafora. Contohnya, pita ingatan; pisau kata-kata.
(c) Simile. Contohnya, Kuningnya seperti emas; hati yang terasa seperti mahu luruh.
(d) Personifikasi. Contohnya, Petak-petak yang telah menyajikan uji semangat leluhurnya; Wajah Abang Man datang mendadak menyerang benak.
(e) Peribahasa. Contohnya, tersenyum-senyum kambing; kata putus; naik angin.
(f) Sinkope. Contohnya, Dia seorang saja yang tak beri kata putus; Anak Mak Wan seorang saja yang tolak tuah.

Nilai
a) Keyakinan
b) Ketabahan
c) Kegigihan
d) Keberanian
e) Kegigihan
f) Hemah tinggi
g) Berdikari
h) Kesyukuran
i) Kepemimpinan

Pengajaran Cerpen menuai emas
(a) Kita hendaklah yakin akan kebolehan diri sendiri dalam melakukan sesuatu perkara.
(b) Kita hendaklah tabah dalam menghadapi segala dugaan untuk memperoleh kejayaan.
(c) Kita hendaklah gigih berusaha untuk mendapatkan sesuatu ilmu atau pengalaman.
(d) Kita mestilah berani mempertahankan hak milik keluarga terutamanya dalam hal tanah.
(e) Kita hendaklah berkongsi ilmu dan memberikan semangat kepada golongan yang ingin memajukan sesuatu bidang.
(f) Kita hendaklah sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan Tuhan kepada kita.
(g) Kita digalakkan untuk berbakti kepada tanah supaya memperoleh manfaat daripadanya.

Cerpen Menuai Emas: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2