Categories
Prosa

Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada

Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada: Sinopsis, Tema dan Persoalan, Binaan Plot, Teknik Plot, Watak Perwatakan, Latar tempat masyarakat masa, Gaya bahasa, Nilai dan Pengajaran

Sinopsis Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada
Kedengaran ke benua Siam bahawa negeri Melaka sebuah negeri yang besar dan tidak ditakluki oleh mana-mana empayar. Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya pun menyuruh utusan ke Melaka untuk meminta surat sembah. Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah raja Siam. Raja Siam berasa amat marah lalu memerintah kan hulubalangnya, iaitu Awi Cakri untuk menyerang Melaka.

Berita Siam hendak menyerang Melaka telah didengari oleh Sultan Muzaffar Syah. Lantas, baginda memerintahkan rakyat dihimpunkan di Melaka. Sehubungan dengan itu, semua rakyat lelaki dibawa berhimpun di Melaka. Bagaimanapun, Tun Perak telah menghimpunkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan mereka berperang dengan sungguh-sungguh demi isteri dan anak-anak mereka. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian Sultan Melaka. Selepas Melaka menang ke atas Siam, Tun Perak diperintahkan agar menetap di Melaka dan dilantik sebagai bentara.

Kemudian, ada seorang orang Kelang mengadu kepada Sultan Melaka bahawa Tun Perak telah menganiayai dirinya. Sultan Melaka pun memerintahkan Tun Perak supaya menghadap baginda. Tun Perak menyatakan bahawa dia tahu akan tanggungjawabnya untuk menjaga negeri Melaka. Tun Perak mahu dia dipecat lebih dahulu sekiranya dia ingin dicerca disebabkan orang yang mengadu hal tersebut. Kata-kata Tun Perak itu memikat hati Sultan Melaka. Tun Perak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja. Tun Perak duduk setara dengan Seri Nara Diraja di seri balai.

Sementara itu, orang Melayu pun terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagiannya mengikut Paduka Raja dan sebahagian lagi mengikut Seri Nara Diraja. Kedua-dua pembesar ini tidak bermuafakat dan sering berselisih faham. Sultan Melaka berasa dukacita kerana sikap kedua-dua pembesar itu akan membinasakan negeri Melaka. Baginda bercadang untuk mendamaikan Tun Perak dengan Seri Nara Diraja. Oleh hal yang demikian, Seri Nara Diraja telah dikahwinkan dengan Tun Kudu, iaitu anak Bendahara Seri Wak Raja yang bersaudara pula dengan Paduka Raja. Tun Kudu ialah isteri Sultan Melaka tetapi telah diceraikan oleh baginda. Tun Kudu dipelihara oleh Paduka Raja. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Melaka. Setelah Seri Nara Diraja berkahwin dengan Tun Kudu, Seri Nara Diraja telah berbaik-baik dengan Paduka Raja. Malah Seri Nara Diraja memberikan sokongannya terhadap Paduka Raja untuk dilantik sebagai bendahara. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja setara dengan Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di Pasai. Seri Nara Diraja pula menjadi penghulu bendahari di Melaka.

Setelah beberapa lama kemudian, orang Siam, iaitu di bawah panglima Awi Dicu mahu menyerang Melaka lagi. Sultan Melaka memerintahkan Bendahara Paduka Raja agar bersiap sedia untuk menentang orang Siam. Seri Bija Diraja turut diperintahkan membantu Bendahara Paduka Raja untuk mengusir orang Siam yang telah menghampiri Batu Pahat. Bendahara Paduka Raja telah memerintah Tun Umar supaya menaiki perahu untuk memeriksa perahu Siam. Tun Umar yang berani itu telah melanggar beberapa buah perahu Siam sehingga mereka kalah. Tindakan Tun Umar membuatkan orang Siam berasa sungguh hairan. Setelah hari malam, Bendahara Paduka Raja mengarahkan agar pohon-pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan tersebut telah dilihat oleh orang Siam. Hulubalangnya berpendapat bahawa kelengkapan Melaka sungguh banyak. Dengan itu, orang Siam menjadi takut dan tidak jadi berperang lalu kembali ke Siam.

Di Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah meraikan tenteranya dengan memberikan persalinan yang mulia-mulia. Sebaliknya di Siam pula, Paduka Bubunnya berasa terlalu marah. Lantas baginda sendiri ingin menyerang Melaka. Sebaliknya, Cau Pandan, iatu anak Paduka Bubunnya mahu dia diperlengkapkan untuk mengalahkan Melaka. Paduka Bubunnya berasa sangat gembira dan mengarahkan anaknya itu diperlengkapkan dengan Pra Kelong lapan ratus sum dan perahu-perahu kecil yang tidak terbilang banyaknya.

Khabar tentang tentera Siam yang dipimpin oleh Cau Pandan akan menyerang telah kedengaran di Melaka. Namun begitu, Tuan Sidi Arab yang menetap di Melaka dan pandai bermain panah lasykar telah menghalakan panahnya ke benua Siam sambil melaungkan kata-kata bahawa Cau Pandan akan mati. Sultan Muzaffar Syah mengatakan bahawa Tuan Sidi Arab itu benar-benar warak sekiranya Cau Pandan betul-betul mati.

Di benua Siam pula, Cau Pandan berasa dadanya seperti terkena panah. Cau Pandan jatuh sakit dan muntah darah lalu mati. Oleh hal yang demikian, rancangan Siam untuk menyerang Melaka tidak diteruskan. Kematian Cau Pandan telah tersebar ke Melaka. Sultan Muzaffar Syah yang mendengar khabar tersebut mengakui Tuan Sidi Arab seorang yang warak, lalu memberikan pujian dan anugerah kepada beliau.

Selepas 42 tahun menaiki takhta, akhirnya Sultan Muzaffar Syah pun mangkat. Takhta Melaka telah digantikan oleh anakanda baginda, iaitu Raja Abdullah. Baginda digelar Sultan Mansur Syah. Usia baginda sewaktu menaiki takhta itu ialah 27 tahun. Sultan Mansur Syah seorang yang kacak, adil, dan pemurah. Baginda telah berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.

Tema
Tema prosa tradisional “Burung Terbang Dipipiskan Lada” ialah kebijaksanaan seorang raja dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam kalangan pembesar negeri.

Persoalan
(a) Kebijaksanaan menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menyelesaikan masalah.
(b) Perpecahan dalam kalangan pembesar akan mengancam kedaulatan negara.
(c) Kepentingan ilmu dalam kehidupan.
(d) Keberanian dalam menghadapi cabaran.
(e) Taat setia kepada pemimpin dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara.

Watak dan Perwatakan
Tun Perak

(a) Pembesar Melaka yang menjaga daerah Kelang.
(b) Dinaikkan pangkat daripada pembesar Kelang kepada Paduka Raja.
(c) Diperintahkan untuk menetap di Melaka.
(d) Berani dan baik hati, dan bijaksana.
(e) Sangat berpengaruh.
(f) Dilantik menjadi bendahara yang bergelar Bendahara Paduka Raja oleh Sultan Muzaffar Syah setelah mendapat sokongan daripada Seri Nara Diraja.
(g) Bijak dalam strategi perang.

Sultan Muzaffar Syah
(a) Mementingkan keharmonian Melaka.
(b) Bijaksana dan prihatin.
(c) Tidak terburu-buru dalam bertindak.
(d) Memerintah Melaka selama 42 tahun.
(e) Raja yang menghargai rakyat.

Seri Nara Diraja
(a) Penghulu bendahari di Melaka.
(b) Sudah tua sehingga bulu kening dan bulu matanya telah bercantum.
(c) Berkahwin dengan Tun Kudu, iaitu bekas isteri Sultan Melaka.
(d) Mempunyai anak daripada hubungannya dengan gundik, iaitu Tun Nina Madi.
(e) Bapa saudara kepada Bendahara Paduka Raja apabila beliau berkahwin dengan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Bendahara Paduka Raja.

Sultan Mansur Syah
(a) Anak kepada Sultan Muzaffar Syah.
(b) Menjadi sultan ketika berusia 27 tahun.
(c) Kacak, adil, dan pemurah.
(d) Berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.
(e) Mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Puteri Bakal, iaitu hasil hubungannya dengan gundik.

Plot
Binaan Plot

(a) Peristiwa-peristiwa dalam cerita ini dijalin secara kronologi.

(b) Pengenalan – Raja Siam memerintahkan Melaka agar menghantar surat sembah. Namun begitu, Sultan Melaka tidak mahu memberikan surat sembah tersebut. Oleh itu, Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya memerintahkan tenteranya di bawah pimpinan Awi Cakri supaya menyerang Melaka. Sultan Melaka mengarahkan rakyatnya dikumpulkan untuk menghadapi ancaman tentera Siam. Tun Perak mengumpulkan semua lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak masing-masing. Akhirnya, Siam berjaya dikalahkan di Muar.

(c) Perkembangan – Tun Perak diperintahkan oleh Sultan Melaka supaya menetap di Melaka dan dijadikan bentara. Kebijaksanaan dan kata-kata Tun Perak sewaktu menyelesaikan dakwaan bahawa dia membuat aniaya telah membuatkan Sultan Muzaffar Syah menaikkan pangkat beliau sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.

(d) Perumitan – Seri Nara Diraja dan Paduka Raja tidak sefahaman. Orang Melayu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu sebahagian menjadi pengikut Seri Nara Diraja dan sebahagiannya pengikut Paduka Raja. Sultan Muzaffar Syah bimbang jika perbalahan antara pembesar itu akan memudaratkan negeri Melaka. Sultan Muzaffar Syah telah mengahwinkan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja untuk menyatukan mereka berdua. Paduka Raja pula dijadikan bendahara.

(e) Klimaks – Raja Siam menghantar tenteranya di bawah pimpinan Awi Dicu untuk menyerang Melaka. Sultan Muzaffar Syah mengarahkan Bendahara Paduka Raja dengan dibantu oleh Seri Bija Diraja untuk mengusir tentera Siam. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja yang mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar menyebabkan tentera Siam tersalah anggap dan kembali ke Siam kerana ketakutan. Selepas itu, anakanda Raja Siam, iaitu Cau Pandan diperlengkapkan untuk menyerang Melaka. Berita Siam ingin menyerang Melaka telah diketahui oleh Raja Melaka. Tuan Sidi Arab yang mempunyai ilmu pengetahuam yang tinggi telah menghalakan panahnya ke benua Siam untuk membunuh Cau Pandan. Cau Pandan berasa dadanya seperti dipanah dan muntah darah lalu mati.

(f) Peleraian – Sultan Muzaffar Syah mangkat selepas memerintah Melaka selama 42 tahun. Takhta Melaka digantikan oleh Raja Abdullah, iaitu anakanda Sultan Muzaffar Syah dengan gelaran Sultan Mansur Syah.

Teknik Plot
(a) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Sultan Muzaffar Syah dengan Seri Nara Diraja.
(b) Teknik imbas kembali. Contohnya, Seri Nara Diraja teringat akan peristiwa bapanya membeli azimat.
(c) Teknik monolog dalaman. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bermonolog dalaman ketika baginda mendengar penjelasan daripada Tun Perak.
(d) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan perwatakan Seri Amerta.

Latar
Latar Tempat

(a) Melaka (e) Kelang
(b) Muar (f) Siam
(c) Batu Pahat (g) Istana Siam
(d) Hulu Muar (h) Seri balai

Latar Masa
(a) Zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.
(b) Zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
(c) Zaman Tun Perak menjadi Bendahara Melaka.

Latar Masyarakat
(a) Golongan istana yang terdiri daripada pemerintah, menteri, dan hulubalang.
(b) Masyarakat yang mengamalkan ilmu.
(c) Masyarakat yang tidak bersatu hati.
(d) Masyarakat yang takut akan isteri.
(e) Masyarakat yang bijaksana.
(f) Masyarakat yang baik hati.

Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contoh: idah; ditalak; keramat.
(b) Bahasa istana. Contoh: baginda; titah; tuanku; mangkat.
(c) Bahasa Melayu klasik. Contoh: terpermanai lagi; kemakanan matanya.
(d) Hiperbola. Contoh: Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.
(e) Penggunaan lagu. Contoh: Cau Pandan anak Bubunnya, Hendak menyerang ke Melaka; Ada cincin berisi bunga, Bunga berladung si air mata.
(f) Repetisi. Contoh: Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu.
(g) Simile. Contoh: seperti dewal orang berzikir; dadanya seperti kena panah.

Nilai
(a) Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Tun Perak bijaksana dalam menghadapi ancaman Siam ke atas negeri Melaka. Beliau mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan beliau ini telah menggerunkan tentera Siam sehingga menyebabkan mereka kembali ke Siam semula.

(b) Nilai baik hati. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bersikap baik hati dengan menganugerahkan persalinan kepada Tun Perak dan tenteranya selepas mereka berjaya mengusir tentera Siam.

(c) Nilai berilmu pengetahuan. Contohnya, Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh sahaja.

(d) Nilai bersatu padu. Contohnya, Seri Nara Diraja yang bersepakat dengan Bendahara Paduka Raja telah menjadikan rakyat Melaka bersatu padu dan terus kukuh untuk berhadapan dengan ancaman Siam.

(e) Nilai keikhlasan. Contohnya, Seri Nara Diraja dengan ikhlas hati menyokong pelantikan Paduka Raja sebagai Bendahara Melaka.

(f) Nilai keberanian. Contohnya, Tun Perak bersama-sama dengan tentera Melaka berani menentang tentera Siam yang dipimpin oleh Awi Cakri dan Awi Dicu sehingga kedua-dua gerombolan tentera musuh dapat dikalahkan.

(g) Nilai pengorbanan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah sanggup berkorban, iaitu baginda menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja demi kebaikan negeri Melaka.

Pengajaran
(a) Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh negara.
(b) Kita perlu bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.
(c) Kita hendaklah ikhlas semasa melakukan sesuatu tindakan.
(d) Kita sepatutnya sanggup berkorban untuk memperoleh kebaikan.
(e) Kita haruslah bersatu padu untuk menikmati kehidupan yang harmoni.
(f) Kita hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul dan tepat.

Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 5

Prosa

Prosa Tradisional Asal Padi

Prosa

Prosa Tradisional Pelanduk Mengajar Memerang

Prosa

Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan

Prosa

Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada

Rencana Sign Of Time

Gog And Magog

Rencana Sign Of Time

Usury

Hadis Rencana

Antara Kebajikan Dan Dosa

Berita Rencana

Kementerian Pendidikan Malaysia Teliti Cadangan Tempatkan Calon SPM, STPM Di Asrama

Hadis

Komunikasi Yang Baik

Sign Of Time

One Eye

Sign Of Time

Ten Sign Of Last Hour

Hadis

Mengeratkan Silaturrahim

Berita

Virus G4 EA H1N1 Ditemui Di China

Hadis

Mencari Rezeki Yang Halal

Berita

Majlis Akad Nikah Boleh Dihadiri 250 Tetamu – Ismail Sabri

Berita

SPM Bermula Pada 6 Januari 2021

Berita

Cuti Akhir Tahun Persekolahan 2020 Dipendekkan

Eschatology

Mata Wang Dunia 2020

Hadis

Jauhi Sifat Takbur

Hadis

Kelebihan Solat Jenazah

Hadis

Kelebihan Azan

Berita

Sony Telah Memperkenalkan Konsol Terbaru PS5

Berita

KKM Mendedahkan 3 Produk Komestik Yang Mengandungi Racun Berjadual

Hadis

3 Perkara

Categories
Prosa

Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan

Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan: Sinopsis, Tema dan Persoalan, Binaan Plot, Teknik Plot, Watak Perwatakan, Latar tempat masyarakat masa, Gaya bahasa, Nilai dan Pengajaran

Sinopsis
Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.

Patih Gajah membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.

Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyamar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.

Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya menggagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja,membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badannya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari.

Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksamana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikit pun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka.

TEMA
Kepahlawanan seorang laksamana mempertahankan negara. Keberanian dan kegagahan Laksamana mempertahankan negeri Melaka dari ancaman penjurit tujuh bersaudara serta Kertala Sari dari Majapahit yang membuat huru-hara.

PERSOALAN
1. Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan.
2. Persoalan pemimpin mestilah seorang yang bijaksana.
3. Persoalan pemimpin yang mengambil berat kesusahan rakyat.
4. Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang.
5. Persoalan perasaan dendam membawa akibat buruk.

WATAK DAN PERWATAKAN
1. Laksamana
· Seorang yang berani
· Seorang yang pemurah
· Seorang yang bijaksana
· Cinta akan keamanan negara
· Taat setia kepada pemerintah
· Pandai dalam ilmu kesaktian
· Memiliki sifat kepahlawanan

2. Kertala Sari
· Anak kepada Petala Bumi
· Berasal dari Majapahit
· Seorang pencuri yang handal
· Seorang yang tamak dan angkuh
· Seorang pendendam
· Pandai dalam ilmu kesaktian
· Suka membuat huru-hara
· Taat kepada pemerintah

3. Sultan Melaka
· Seorang yang prihatin
· Seorang pemimpin yang adil
· Seorang yang mengenang budi

4. Patih Gajah Mada
· Berasal dari Majapahit
· Seorang pendendam

Latar Masyarakat
1. Masyarakat feudal
Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja .

2. Masyarakat yang bertanggungjawab
Contoh : Laksamana menawarkan diri untuk menangkap penjurit yang menyebabkan masalah kecurian di negeri Melaka

3. Masyarakat yang mengenang budi
Contoh : Saudagar dan orang-orang kaya yang kehilangan hartanya akibat dicuri oleh Kertala Sari telah memberikan sebahagian harta mereka kepada Laksamana dengan ikhlas serta harta mereka ditemui.

4. Masyarakat yang taat pada pemerintah
Contoh : Ketaatan Laksamana terhadap Sultan dan negerinya.

Latar Tempat
1. Negeri Melaka
Contoh: Kertala Sari membuat huru-hara dengan mencuri harta sudagar dan orang-orang kaya di Melaka

2. Majapahit
Contoh: Patih Gajah Mada dan Seri Bentara merancang untuk membalas dendam atas kematian penjurit tujuh bersaudara di Bukit Cina.

3. Di tengah pasar
Contoh : Tempat Kertala Sari mati dibunuh oleh Laksamana.

Latar Masa
1. Malam – Contoh: Kertala Sari masuk mencuri ke rumah saudagar dan orang-orang kaya pada sebelah malam.
2. Siang – Contoh: Bendahara melaporkan kepada Sultan bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri dan habis segala harta-hartanya.

GAYA BAHASA
1. Bahasa istana -Contoh: sultan, patik, tuanku,
2. Bahasa pinjaman bahasa Jawa -Contoh: manira,kula,pakanira
3. Kata ganda -Contoh: kaya-kaya, sekuasa-kuasa, menampar-nampar,tikam-menikam,radak-meradak

NILAI
1. Nilai keberanian. Contoh:Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari.
2. Nilai tolong-menolong. Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka.
3. Nilai kebijaksanaan. Contoh: Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari dengan berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam.
4. Nilai pemurah – Contoh: Laksamana membahagi-bahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikit pun harta itu.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah berani menghadapi musuh supaya keselamatan negara akan terjamin.
2. Kita hendaklah rasional membuat keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang.
3. Janganlah kita mempunyai perasaan dendam supaya hidup kita sentiasa bahagia.
4. Kita hendaklah mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kita sentiasa dirahmati Tuhan

Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 4

Prosa

Prosa Tradisional Asal Padi

Prosa

Prosa Tradisional Pelanduk Mengajar Memerang

Prosa

Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan

Prosa

Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada

Rencana Sign Of Time

Gog And Magog

Rencana Sign Of Time

Usury

Hadis Rencana

Antara Kebajikan Dan Dosa

Berita Rencana

Kementerian Pendidikan Malaysia Teliti Cadangan Tempatkan Calon SPM, STPM Di Asrama

Hadis

Komunikasi Yang Baik

Sign Of Time

One Eye

Sign Of Time

Ten Sign Of Last Hour

Hadis

Mengeratkan Silaturrahim

Berita

Virus G4 EA H1N1 Ditemui Di China

Hadis

Mencari Rezeki Yang Halal

Berita

Majlis Akad Nikah Boleh Dihadiri 250 Tetamu – Ismail Sabri

Berita

SPM Bermula Pada 6 Januari 2021

Berita

Cuti Akhir Tahun Persekolahan 2020 Dipendekkan

Eschatology

Mata Wang Dunia 2020

Hadis

Jauhi Sifat Takbur

Hadis

Kelebihan Solat Jenazah

Hadis

Kelebihan Azan

Berita

Sony Telah Memperkenalkan Konsol Terbaru PS5

Berita

KKM Mendedahkan 3 Produk Komestik Yang Mengandungi Racun Berjadual

Hadis

3 Perkara

Categories
Prosa

Prosa Tradisional Pelanduk Mengajar Memerang

Prosa Tradisional Pelanduk Mengajar Memerang: Sinopsis, Tema dan Persoalan, Binaan Plot, Teknik Plot, Watak Perwatakan, Latar tempat masyarakat masa, Gaya bahasa, Nilai dan Pengajaran

Sinopsis Prosa Tradisional Pelanduk Mengajar Memerang
Pada zaman Nabi Allah Sulaiman semua haiwan ditakdirkan oleh Allah dapat berkata-kata. Nabi Allah Sulaiman mempunyai lima menteri yang terdiri daripada manusia, jin yang bernama Ifrit, unggas, landak, dan pelanduk. Antara kelima-lima menteri itu, Syah Alam di Rimba, iaitu pelanduklah yang paling masyhur kebijaksanaannya.

Pada suatu hari, Syah Alam di Rimba melawat ke kawasan di wilayah pemerintahannya. Syah Alam di Rimba sampai di sebuah lubang yang menjadi tempat tinggal memerang. Ada tujuh ekor anak memerang di dalam lubang itu. Anak-anak memerang itu keluar dari lubang lalu bermain-main. Syah Alam di Rimba bertanyakan tempat mak dan bapa anak-anak memerang itu pergi. Anak memerang menyatakan bahawa mak dan bapanya pergi mencari ikan untuk dijadikan makanan. Oleh itu, Syah Alam di Rimba terfikir bahawa memerang selalu melakukan penganiayaan terhadap ikan-ikan di rimba itu. Syah Alam di Rimba runsing memikirkan aduan ikan-ikan itu kepada Nabi Allah Sulaiman. Syah Alam di Rimba mahu membuat pakatan dengan memerang. Tidak berapa lama kemudian, burung bubut berbunyi secara bersahut-sahutan. Apabila mendengar bunyi itu Syah Alam di Rimba terus bersilat. Tanpa sedar, Syah Alam di Rimba telah memijak anak-anak memerang itu sehingga semuanya mati.

Setelah hari petang, mak dan bapa memerang pulang ke lubang tersebut. Mak dan bapa memerang melihat semua anak memerang sudah mati. Mak dan bapa memerang mengetahui Syah Alam di Rimbalah yang melakukan perkara tersebut kerana terdapat kesan tapak kakinya di situ. Pada malam itu, mak dan bapa memerang berbincang. Mak dan bapa memerang membuat keputusan untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada Nabi Allah Sulaiman. Pada keesokan harinya, mak dan bapa memerang pergi berjumpa dengan Nabi Allah Sulaiman. Mak dan bapa memerang mengadukan perbuatan yang dilakukan oleh Syah Alam di Rimba terhadap anak-anaknya. Setelah baginda mendengar aduan tersebut, baginda berasa hairan akan kelakuan Syah Alam di Rimba. Oleh itu, baginda mahu mengadakan perbicaraan. Baginda meminta Sang Belatuk memanggil semua haiwan yang terlibat, iaitu haiwan-haiwan yang menyebabkan kematian anak-anak memerang itu. Haiwan-haiwan tersebut ialah Syah Alam di Rimba, Sang Bubut, Sang Biawak, Sang Labi-labi, Sang Udang, dan Sang Sebarau. Semua haiwan tersebut bercerita tentang perkara-perkara yang telah berlaku dengan jujur.

Setelah Nabi Allah Sulaiman mendengar cerita Sang Sebarau, maka baginda memerintahkan Sang Memerang bercakap benar. Dengan takut, Sang Memerang mengakui kesalahannya. Nabi Allah Sulaiman memutuskan bahawa Syah Alam di Rimba tidak bersalah. Kematian anak-anak Sang Memerang disebabkan oleh kesalahan Sang Memerang sendiri.

Tema
Balasan terhadap golongan yang menganiayai golongan lain.

Persoalan
(a) Sikap tamak, iaitu mahu mendapatkan sesuatu dengan sebanyak-banyaknya tanpa memikirkan nasib pihak lain.
(b) Aduan dibuat kepada yang pihak yang berkuasa.
(c) Pengadilan memerlukan saksi.
(d) Kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah.
(e) Bercakap benar di hadapan pemerintah.
(f) Sentiasa bersedia untuk menyelamatkan pemerintah.
(g) Mengakui kesalahan yang telah dilakukan.

Watak dan Perwatakan
Pelanduk atau Syah Alam di Rimba
(a) Dilantik oleh Nabi Allah Sulaiman untuk menjadi menteri.
(b) Merupakan menteri yang paling termasyhur kebijaksanaannya.
(c) Pandai bersilat.
(d) Prihatin akan masalah yang dialami oleh rakyatnya.
(e) Taat kepada pemerintah, iaitu Nabi Allah Sulaiman.
(f) Jujur ketika berhadapan dengan Nabi Allah Sulaiman.

Sang Memerang
(a) Mempunyai tujuh orang anak.
(b) Menjadikan ikan sebagai makanan.
(c) Tamak terutamanya dalam hal makanan.
(d) Ibu dan bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak.
(e) Mementingkan diri sendiri.
(f) Taat akan perintah Nabi Allah Sulaiman.
(g) Sedar akan penganiayaan yang telah dilakukan terhadap anak-anak Sang Sebarau.

Nabi Allah Sulaiman
(a) Seorang pemerintah yang rakyatnya terdiri daripada manusia, jin, dan haiwan.
(b) Melantik lima menteri dalam urusan pemerintahan baginda.
(c) Bijak menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh semua rakyatnya.
(d) Tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan.
(e) Pemerintah yang adil.
(f) Tegas dalam membuat keputusan.

Plot
Binaan Plot

(a) Permulaan – Pelanduk yang dipanggil sebagai Syah Alam di Rimba melawat ke kawasan di wilayah pemerintahannya. Syah Alam di Rimba sampai di sebuah lubang yang menjadi tempat tinggal memerang. Ada tujuh ekor anak memerang di dalam lubang itu. Anak-anak memerang itu keluar dari lubang lalu bermain-main. Syah Alam di Rimba bertanyakan tempat mak dan bapa anak-anak memerang itu pergi. Anak memerang menyatakan bahawa mak dan bapanya pergi mencari ikan untuk dijadikan makanan. Oleh itu, Syah Alam di Rimba terfikir bahawa memerang selalu melakukan penganiayaan terhadap ikan-ikan di rimba itu. Syah Alam di Rimba runsing memikirkan aduan ikan-ikan itu kepada Nabi Allah Sulaiman. Syah Alam di Rimba mahu membuat pakatan dengan memerang. Tidak berapa lama kemudian, burung bubut berbunyi secara bersahut-sahutan. Apabila mendengar bunyi itu Syah Alam di Rimba terus bersilat. Tanpa sedar, Syah Alam di Rimba telah memijak anak-anak memerang itu sehingga semuanya mati.

(b) Perkembangan – Setelah hari petang, mak dan bapa memerang pulang ke lubang tersebut. Mak dan bapa memerang melihat semua anak memerang sudah mati. Mak dan bapa memerang mengetahui Syah Alam di Rimbalah yang melakukan perkara tersebut kerana terdapat kesan tapak kakinya di situ. Mak dan bapa memerang berasa sangat sedih kerana sayang akan anak-anak itu. Pada malam itu, mak dan bapa memerang berbincang. Mak dan bapa memerang membuat keputusan untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada Nabi Allah Sulaiman.

(c) Klimaks – Pada keesokan harinya, mak dan bapa memerang pergi berjumpa dengan Nabi Allah Sulaiman. Mak dan bapa memerang mengadukan perbuatan yang dilakukan oleh Syah Alam di Rimba terhadap anak-anaknya. Setelah baginda mendengar aduan tersebut, baginda berasa hairan akan kelakuan Syah Alam di Rimba. Oleh itu, baginda mahu mengadakan perbicaraan. Baginda meminta Sang Belatuk memanggil semua haiwan yang terlibat, iaitu haiwan-haiwan yang menyebabkan kematian anak-anak memerang itu. Haiwan-haiwan tersebut ialah Syah Alam di Rimba, Sang Bubut, Sang Biawak, Sang Labi-labi, Sang Udang, dan Sang Sebarau. Semua haiwan tersebut bercerita tentang perkara-perkara yang telah berlaku dengan jujur.

(d) Peleraian – Setelah Nabi Allah Sulaiman mendengar cerita Sang Sebarau, maka baginda memerintahkan Sang Memerang bercakap benar. Dengan takut, Sang Memerang mengakui kesalahannya. Nabi Allah Sulaiman memutuskan bahawa Syah Alam di Rimba tidak bersalah. Kematian anak-anak Sang Memerang disebabkan oleh kesalahan Sang Memerang sendiri.

Latar Tempat
a) Hutan rimba
b) Dalam lubang
c) Kota istana
d) Lubuk

Latar Masa
a) Pada zaman dahulu
b) Waktu siang
c) Waktu petang
d) Waktu malam

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat haiwan yang tinggal di rimba.
(b) Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
(c) Masyarakat yang berlaku jujur terhadap pemerintah.
(d) Masyarakat yang patuh kepada pemerintah.
(e) Masyarakat yang sentiasa bersedia untuk menjaga keselamatan pemerintah.
(f) Masyarakat yang cepat bertindak.
(g) Masyarakat yang mengakui kesilapan diri.
(h) Masyarakat yang bijak dalam menyelesaikan masalah.

Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Allah Subhanahuwataala; kudrat-Nya; fasal.
(b) Bahasa istana. Contohnya, patik; bersemayam; singgahsana; baginda; bertitah; tuanku; beta.
(c) Bahasa klasik. Contohnya, Sebermula; Hatta; ayapan; pacal.
(d) Sinkope. Contohnya, Sang Biawak membawa pedang tercabut saja berlari-lari.
(e) Repetisi. Contohnya, Kepada fikiran patik tentulah Duli yang Maha Mulia kedatangan musuh yang besar, patik pun bersiaplah akan perisai patik.

Nilai
a) Keberanian
b) Keadilan
c) Kejujuran
d) Kebijaksanaan
e) Keprihatinan
f) Tanggungjawab
g) Kepatuhan
h) Keinsafan

Pengajaran
(a) Kita hendaklah menjadi pemimpin yang prihatin akan masalah rakyat.
(b) Kita hendaklah menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab.
(c) Kita hendaklah sentiasa bersedia untuk menghadapi ancaman musuh.
(d) Sebagai rakyat, kita hendaklah patuh akan setiap arahan pemerintah.
(e) Sebagai pemerintah, kita mestilah bijak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
(f) Kita mestilah bercakap jujur apabila kita dihadapkan ke muka pengadilan.
(g) Sebagai pemerintah, kita hendaklah membuat keputusan dengan adil.
(h) Kita hendaklah sedar akan kesalahan yang telah kita lakukan.

Prosa Tradisional Pelanduk Mengajar Memerang: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2

Categories
Prosa

Prosa Tradisional Asal Padi

Prosa Tradisional Asal Padi: Sinopsis, Tema dan Persoalan, Binaan Plot, Teknik Plot, Watak Perwatakan, Latar tempat masyarakat masa, Gaya bahasa, Nilai dan Pengajaran

Sinopsis
Cerita ini mengisahkan sepasang suami isteri yang kaya telah meninggal dunia. Kedua-dua orang anak lelaki mereka yang masih kecil dianiaya oleh penjahat. Harta yang tinggal hanyalah sebuah kolam ikan. Suatu hari, Si Bongsu melihat tujuh orang perempuan sedang bersiap-siap untuk pulang ke kayangan. Si Bongsu mendapat keizinan untuk ke kayangan. Di kayangan, Si Bongsu ditinggalkan sendirian. Dia melihat sesuatu yang berkilau-kilau seperti emas, sedang dijemur di tengah-tengah dusun.

Rupa-rupanya, sesuatu yang berkilau-kilau itu ialah padi. Si Bongsu ingin meminta sedikit padi untuk ditanam di bumi tetapi tidak dibenarkan oleh empunya padi itu. Apabila berpeluang, Si Bongsu mengambil segenggam padi lalu melarikan diri. Dia dapat ditangkap lalu dicederakan oleh empunya padi hingga tumitnya luka. Si Bongsu bermohon supaya dia dibenarkan bekerja dengan empunya padi. Si Bongsu berjaya menyembunyikan segenggam padi dan memberitahu empunya padi bahawa dia mahu kembali ke bumi.

Di bumi, Si Bongsu menanam padi dan berbuah dengan lebat tetapi padi di kayangan sudah tidak menjadi kerana daya hidup padi di kayangan telah hilang. Empunya padi telah menghantar burung pipit untuk menyiasat jika padi hidup di bumi. Burung pipit pulang ke kayangan lalu melaporkan bahawa tiada tanaman padi di bumi. Namun empunya padi tidak percaya lalu menghantar Si Tekuri pula.

Si Tekuri akan membunuh pipit jika di bumi ada padi jika sebaliknya, pipit akan membunuh Si Tekuri. Sebaik-baik tiba di bumi, Si Tekuri mendapati burung pipit berkata bohong, lalu Si Tekuri berkelahi dengan burung pipit. Burung pipit telah kalah lalu kerongkongnya disepit oleh Si Tekuri dengah kuat hingga temboloknya telah beralih ke arah tengkuknya. Itulah punca tembolok burung pipit berada di tengkuknya dan inilah asal usul padi di bumi.

Tema
Tema cerita Asal Padi yang terdapat dalam Prosa Tradisional Tingkatan Satu ialah kebijaksanaan seseorang dalam menyelesaikan masalah. Si Bongsu bijak menyelesaikan masalah dalam usahanya mendapatkan padi yang berasal daripada kayangan untuk dibawa pulang ke bumi.

Persoalan 
1. Persoalan keberanian melakukan sesuatu tindakan
Contoh: Si Bongsu dengan berani memasukkan padi itu ke dalam mulutnya dan melarikan diri namun dapat ditangkap oleh empunya padi sehingga tumitnya luka.
2. Persoalan kebijaksanaan mencari akal
Contoh: Si Bongsu mencari akal agar dia dapat menyembunyikan tanaman padi itu di dalam sebuah tempat yang tidak akan diketahui oleh empunya padi.
3. Persoalan persoalan mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain
Contoh: Orang-orang jahat telah mengambil segala harta yang ditinggalkan oleh pasangan suami isteri kepada anak-anak mereka yang masih kecil.
4. Persoalan bersungguh-sungguh menjaga hak
Contoh: Empunya padi benar-benar memastikan padi yang ditanamnya tidak dicuri orang.

Plot
Binaan Plot
Permulaan – Si Bongsu dan abangnya kematian ibu bapa. Mereka jatuh miskin akibat segala harta peninggalan ibu bapa mereka dicuri.
Perkembangan – Si bongsu mengikut tujuh orang wanita pulang ke kayangan. Di kayangan, Si Bongsu ternampak benda kuning sedang dijemur. Pada sangkaannya, benda itu emas. Empunya benda itu menyatakan bahawa itu ialah padi.
Klimaks – Si Bongsu ditangkap oleh orang kayangan lalu dihempaskannya di tangga pelangi sehingga tumit Si Bongsu luka.
Peleraian – Padi tumbuh dengan subur di bumi. Pipit mati akibat Si Tekuri menyepit tengkoknya kerana berbohong kepada tuan empunya padi.

Teknik Plot
Teknik pemerian; teknik dialog; teknik monolog; teknik monolog dalaman

Watak dan Perwatakan
Si Bongsu (Watak utama)
 Anak bongsu dalam keluarga.
 Mempunyai seorang abang yang cacat.
 Anak yatim piatu yang malang.
 Miskin – harta pusaka yang patut diwarisi telah dicuri oleh orang jahat.
 Bijaksana – mempunyai daya usaha yang tinggi untuk mengambil padi.
 Tabah dan gigih – tidak mudah berputus asa.

Orang Kayangan
 Memiliki sawah padi di kayangan.
 Menjaga padi daripada dibawa turun ke bumi.
 Tinggal di kayangan.
 Baik hati kerana membenarkan Si Bongsu merasa keenakan nasi.
 Seorang yang pemaaf dan sanggup menerima Si Bongsu untuk menjaga padi di kayangan.

Burung Pipit
 Berasal dari kayangan.
 Tidak amanah – mengatakan bahawa padi tidak tumbuh di bumi
walaupun telah banyak makan padi di bumi.  Mati disepit oleh Si Tekuri

Burung Tekuri
 Ditugaskan menemani burung pipit ke bumi untuk memeriksa tumbuh-tumbuhan padi.
 Amanah – menyepit tembolok burung pipit yang menipu

Latar Tempat
 Di kolam ikan
 Di kayangan
 Di bumi

Latar Masa
Zaman dahulu kala

Latar masyarakat
 Masyarakat yang tinggal kampung
 Masyarakat yang tinggal di kayangan
 Masyarakat haiwan

Gaya Bahasa
 Contoh, “Jikalau demikian kehendakmu, baiklah. Akan tetapi jangan lagi kamu selalu ingin mencuba untuk mencuri dan membawa lari padiku.”
 Contoh, untung tidak dapat diraih, malang tidak dapat ditolak.
 Kata ganda. Contoh, “Sekarang saya betul-betul jera mengambil apa-apa”.
 Contoh, Kakinya kerekot, jari-jari kakinya tumbuh melekat satu sama lain, seperti kaki itik dan kedua-dua tumitnya berlubang.

Nilai
Kegigihan; baik hati, kerajinan; keberanian; kebijaksanaan

Pengajaran
 Kita hendaklah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.
 Kita hendaklah tabah mengharungi dugaan hidup.
 Kita hendaklah menjaga tingkah laku dan tidak mengambil hak orang lain.
 Kita hendaklah amanah melakukan sesuatu pekerjaan.

Prosa Tradisional Asal Padi: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 1