Categories
Pantun

Pantun Nasihat

Pantun Nasihat: Maksud, Tema & Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk dan Nilai Pengajaran

Maksud
Rangkap 1
Jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih-lebihan sehingga tidak kena pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali.

Rangkap 2
Sesuatu yang haram dan memabukkan jangan dicuba sama sekali.

Rangkap 3
Perasaan sedih dan risau jangan dibiarkan berpanjangan kerana kelak akan membinasakan diri sendiri.

Rangkap 4
Tutur kata haruslah sentiasa dijaga agar tidak menanggung sengsara.

Rangkap 5
Seorang isteri perlulah mengelakkan diri daripada memarahi suami yang sedang letih kerana dikhuatiri dia akan mencari perempuan lain.

Rangkap 6
Kita hendaklah beradat ketika hidup di dunia ini dan bahasa itu tidak dapat dijual beli.

Rangkap 7
Para perantau dinasihati agar pandai membawa diri di tempat orang.

Tema
Nasihat yang dijadikan panduan kepada masyarakat agar mereka sentiasa melakukan kebaikan.

Persoalan
(a) Sentiasa melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.
(b) Melakukan perbuatan haram akan membawa kepada kemudaratan.
(c) Perasaan sedih dan risau tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana dapat membinasakan diri.
(d) Berhati-hati dalam bertutur kerana jika tersilap buruk padahnya.
(e) Persefahaman antara suami isteri mampu menjamin kerukunan rumah tangga.
(f) Budi bahasa amat penting dalam hidup bermasyarakat.
(g) Adat orang merantau mestilah pandai membawa diri di tempat orang.

Bentuk dan Ciri-ciri Pantun
(a) Terdiri daripada tujuh rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Ada pembayang dan maksudnya.
(d) Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.
(e) Terdiri daripada tujuh hingga sebelas suku kata sebaris.
(f) Bentuknya terikat.

Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Imej alam. Contohnya, buah peria; padi; kapas; panas; hujan; pulau; bertih; bunga; pisang.
(b) Anafora. Contohnya, Buat baik berpada-pada Buat jahat jangan sekali.
(c) Simile. Contohnya, Bagai panas mengandung hujan.
(d) Asonansi. Contohnya, Batang kapas bertimbal jalan (perulangan vokal a).
(e) Aliterasi. Contohnya, Buat baik berpada-pada (perulangan konsonan b).
(f) Rima akhirnya sama, iaitu abab.

Nilai
(a) Baik hati. (c) Ketabahan. (e) Hati-hati.
(b) Rasional. (d) Budi bahasa. (f) Kepatuhan.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran.
(b) Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang haram supaya hidup kita tidak binasa.
(c) Kita hendaklah tidak terlalu bersedih atas dugaan yang menimpa diri kerana perbuatan tersebut akan memudaratkan diri sendiri.
(d) Kita mestilah berhati-hati dalam bertutur, jika tersilap buruk padahnya.
(e) Kita hendaklah sentiasa menjaga tingkah laku apabila berdagang di tempat orang supaya dipandang mulia dan masyarakat.
(f) Seorang isteri mestilah bijak menjaga hati suami supaya rumah tangga sentiasa bahagia.

Pantun Nasihat: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2

Categories
Pantun

Pantun Kiasan

Pantun Kiasan: Maksud, Tema & Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk dan Nilai Pengajaran

Maksud Pantun Kiasan
Rangkap 1
Perbuatan membazir merupakan amalan yang merugikan.

Rangkap 2
Orang yang merantau selalunya akan merendah diri apabila berada di tempat orang.

Rangkap 3
Sebelum menginginkan sesuatu yang mustahil, ketahuilah tahap kemampuan dan kebolehan diri kita lebih dahulu.

Rangkap 4
Jangan mengharapkan sesuatu yang belum pasti.

Rangkap 5
Sikap seseorang yang sombong akan kebolehan diri serta memandang rendah terhadap orang lain.

Rangkap 6
Jangan suka membesar-besarkan kejayaan yang tidak seberapa.

Rangkap 7
Pendirian manusia sering berubah-ubah.

Rangkap 8
Perasaan marah akan segera hilang dengan adanya nilai kesabaran dalam diri.

Rangkap 9
Orang yang merantau akhirnya akan kembali ke tempat asalnya semula.

Rangkap 10
Setiap perkara yang berlaku dan diperkatakan orang tentu ada sebabnya.

Rangkap 11
Menginginkan sesuatu yang besar tetapi tidak mempunyai keupayaan.

Rangkap 12
Jika pengetahuan hanya sedikit, janganlah hendak melawan orang yang lebih banyak pengetahuannya.

Rangkap 13
Sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh.

Rangkap 14
Sedangkan waktu muda sudah malas, apatah lagi waktu tua; sedangkan waktu makmur tidak senang, apatah lagi waktu susah.

Rangkap 15
Seseorang yang inginkan sesuatu di luar kemampuannya.

Rangkap 16
Orang yang melakukan dosa tetapi sudah terlambat untuk bertaubat.

Rangkap 17
Orang yang mempunyai paras rupa yang elok tetapi tidak berbudi bahasa.

Tema dan Persoalan
Tema

Sindiran terhadap segelintir anggota masyarakat yang mengamalkan sikap negatif sehingga menjejaskan kehidupan sendiri dan orang lain.

Persoalan
(a) Sikap membazir sangat tidak digalakkan dalam kalangan masyarakat.
(b) Sikap rendah diri dalam kalangan perantau apabila berada di tempat orang.
(c) Sifat segelintir manusia yang mengharapkan sesuatu di luar kemampuan diri.
(d) Sifat sombong dan bangga diri akan membawa kecelakaan kepada diri sendiri.
(e) Sifat sabar dan pemaaf akan dapat melenyapkan kemarahan.
(f) Sifat malas yang bermula sejak kecil akan sukar diubah apabila sudah dewasa.
(g) Paras rupa yang elok tidak berharga jika tidak berbudi bahasa.

Bentuk dan Ciri-ciri Pantun
(a) Terdiri daripada tujuh belas rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Ada pembayang dan maksudnya.
(d) Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.
(e) Terdiri daripada lapan hingga sebelas suku kata sebaris.
(f) Bentuknya terikat.

Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Imej alam. Contohnya, ikan; buah bacang; burung dekut; gelam; kenanga; kumbang; bunga; gunung; pokok terap; bukit; guruh; langit; kilat; hujan; bayam; sayur; sungai.

(b) Peribahasa. Contohnya, jangan diikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung; masakan tempua bersarang rendah; kalau kail panjang sejengkal, usah lautan hendak diduga;

(c) Repetisi. Contohnya, Tikar pucuk tikar mengkuang.

(d) Simile. Contohnya, Macam melukut di tepi gantang; Laksana gadis Menteri Bogor; Sungguh laksana bunga dedap.

(e) Personifikasi. Contohnya, nyawa menangis di pintu kubur.

(f) Asonansi. Contohnya, Sangkut terendak dekat beranda (perulangan vokal e)

(g) Aliterasi. Contohnya, Hajat hati nak peluk gunung (perulangan konsonan h).

(h) Rima akhirnya sama, iaitu abab.

Nilai dan Pengajaran
Nilai

a) Jimat cermat
b) Rendah diri
c) Rasional
d) Keberanian
e) Kesabaran
f) Kerajinan
g) Budi bahasa
h) Keinsafan

Pengajaran
(a) Kita hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran.
(b) Kita perlulah merendah diri apabila berada di tempat orang.
(c) Kita janganlah terlalu mengharapkan perkara yang belum pasti menjadi milik kita.
(d) Kita mestilah banyak bersabar untuk melenyapkan kemarahan dalam diri.
(e) Kita perlulah menghindarkan diri daripada bersikap malas sejak kecil lagi.

Pantun Kiasan: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2

Categories
Pantun

Pantun Kasih Sayang

Pantun Kasih Sayang: Maksud, Tema & Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk dan Nilai Pengajaran

Maksud
Rangkap 1
Wajah seseorang yang kelihatan berseri-seri kerana senyuman-nya yang menawan.

Rangkap 2
Harapan yang tinggi terhadap seseorang tetapi akibat tersilap perhitungan, impian tidak kesampaian.

Rangkap 3
Menyimpan impian untuk mendapatkan seorang wanita yang cantik serta tiada bandingannya.

Rangkap 4
Menggunakan muslihat untuk memikat anak gadis orang.

Rangkap 5
Seseorang perempuan dan lelaki, kalau sudah jodoh, akan bertemu juga akhirnya.

Tema
Kasih sayang antara teruna dengan dara.

Persoalan
(a) Perwatakan yang menarik akan menyebabkan diri disukai oleh ramai orang.
(b) Perbezaan darjat menyebabkan impian seseorang itu terhalang.
(c) Cita-cita untuk memiliki sesuatu yang besar menjadi mustahil kerana adanya kekurangan diri.
(d) Sanggup berpura-pura untuk mencapai sesuatu tujuan.
(e) Perpisahan yang berlaku tidak semestinya terpisah untuk selama-lamanya kerana pada suatu hari nanti pasti akan bertemu semula.

Bentuk dan Ciri-ciri Pantun
(a) Terdiri daripada lima rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Ada pembayang dan maksudnya.
(d) Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
(e) Terdiri daripada lapan hingga sepuluh suku kata sebaris.
(f) Bentuknya terikat.

Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Imej alam. Contohnya, buah mengkudu; kandis; asap; api; bakau langit; anak udang; dahan; bulan; bintang; ayam; asam; ikan; dan laut.
(b) Personifikasi. Contohnya, Anak udang meniti batang.
(c) Paradoks. Contohnya, Langit tinggi kupandang rendah.
(d) Simile. Contohnya, Bagaikan rasa hendak dicapai.
(e) Asonansi. Contohnya, Singgah-menyinggah di pagar orang (perulangan vokal i)
(f) Aliterasi. Contohnya, Harap hati kepada tuan (perulangan konsonan h).
(g) Rima akhirnya sama, iaitu abab.

Nilai
(a) Kasih sayang.
(b) Rasional.
(c) Kesetiaan.
(d) Keikhlasan.

Pengajaran
(a) Kita haruslah sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain.
(b) Kita mestilah bersikap rasional sebelum melakukan sesuatu perkara yang dianggap mustahil.
(c) Kita haruslah ikhlas dalam melakukan setiap perkara dalam kehidupan.
(d) Kita mestilah berusaha dengan gigih untuk mencapai cita-cita.

Pantun Kasih Sayang: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2

Categories
Pantun

Pantun Budi

Pantun Budi: Maksud, Tema & Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk dan Nilai Pengajaran

Maksud
Rangkap 1
Budi yang baik akan sentiasa dikenang dan menjadi sebutan orang.

Rangkap 2
Orang yang baik mempunyai budi bahasa yang tinggi.

Rangkap 3
Orang yang tidak berbudi bahasa akan dipandang hina.

Rangkap 4
Sudah menjadi lumrah dalam hidup, kekayaan lebih diutamakan daripada budi bahasa.

Rangkap 5
Biarlah kita hidup miskin asalkan kita sentiasa berbudi bahasa.

Rangkap 6
Orang yang berbudi akan dipandang mulia, martabat bangsa dinilai dari segi bahasa dan tutur kata.

Rangkap 7
Orang yang bijak akan kelihatan lebih hebat jika bersama-sama dengan orang yang sama tarafnya.

Tema dan Persoalan
Tema

Masyarakat yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi kerana bahasa menunjukkan identiti sesuatu bangsa.

Persoalan
(a) Orang yang tidak berbudi bahasa akan dipandang hina.
(b) Sikap mementingkan kekayaan menyebabkan seseorang lupa akan budi bahasa.
(c) Masyarakat Melayu amat mementingkan budi bahasa dan tutur kata.
(d) Ketinggian darjat sesuatu bangsa dinilai pada bahasa yang dituturkannya.
(e) Budi bahasa lebih penting daripada kekayaan yang dimiliki.
(f) Kebijaksanaan seseorang akan terserlah jika berada dalam kalangan orang yang bijaksana.

Bentuk dan Ciri-ciri Pantun
(a) Terdiri daripada tujuh rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Ada pembayang dan maksudnya.
(d) Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
(e) Terdiri daripada lima hingga sebelas suku kata sebaris.
(f) Bentuknya terikat.

Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Imej alam. Contohnya, air; laut; tanjung; saga; bunga melati; bunga seroja; kali; bunga cina; batu; daun; emas; anak beruk; dan pantai.
(b) Peribahasa. Contohnya, Bagai cincin dengan permata.
(c) Personifikasi. Contohnya, Bijak bertemu dengan jauhari.
(d) Repetisi. Contohnya, Bunga melati bunga di darat.
(e) Responsi. Contohnya, Indah tampan kerana budi, Tinggi bangsa kerana bahasa.
(f) Asonansi. Contohnya, Hina manusia tidak berbudi (perulangan vokal i).
(g) Aliterasi. Contohnya, Bunga melati bunga di darat (perulangan konsonan d).
(h) Rima akhirnya sama, iaitu abab.

Nilai
(a) Budi bahasa. (c) Rendah diri.
(b) Mengenang jasa. (d) Kebijaksanaan.

Pengajaran
(a) Kita mestilah berbudi bahasa agar diri dipandang mulia.
(b) Kita hendaklah mengenang jasa orang yang telah berbudi kepada kita.
(c) Kita perlulah mengutamakan budi bahasa daripada kekayaan.
(d) Kita haruslah sentiasa merendah diri agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat.
(e) Kita haruslah menjadi orang yang bijaksana agar dapat membantu untuk membangunkan bangsa dan negara.

Pantun Budi: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2

Categories
Pantun

Pantun Alam Remaja

Pantun Alam Remaja: Maksud, Tema & Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk dan Nilai Pengajaran

Maksud
Rangkap 1
Anak-anak akan berasa sangat gembira sewaktu menyambut kepulangan ibu ke rumah.

Rangkap 2
Ketakutan dan kerisauan anak-anak sewaktu ketiadaan ibu akan hilang apabila melihat ibu pulang ke rumah.

Rangkap 3
Anak-anak akan berasa sangat gembira jika ibu cepat pulang ke rumah.

Rangkap 4
Adik-beradik menyanyikan sebarang lagu bersama-sama.

Rangkap 5
Kepulangan ayah dan ibu ke rumah merupakan detik yang paling menggembirakan anak-anak.

Rangkap 6
Pemberian atau hadiah daripada ibu bapa membuatkan anak-anak berasa gembira.

Rangkap 7
Ibu bapa tidak sewajarnya memarahi anak-anak yang gemar berpantun kerana anak-anak yang masih kecil biasanya manja.

Tema dan Persoalan
Tema

Kegembiraan anak-anak sewaktu menyambut kepulangan ibu bapa mereka ke rumah.

Persoalan
(a) Tanggungjawab ibu bapa ialah memberikan kasih sayang dan kebahagiaan kepada anak-anak.
(b) Pemberian hadiah dapat menggembirakan hati seseorang.
(c) Anak-anak sentiasa cemas dan risau sewaktu ketiadaan ibu bapa di rumah.

Bentuk dan Ciri-ciri Pantun
(a) Terdiri daripada tujuh rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Ada pembayang dan maksudnya.
(d) Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.
(e) Terdiri daripada sembilan hingga sepuluh suku kata sebaris
(f) Bentuknya terikat.

Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Imej alam. Contohnya, itik; kumpai; ayam kinantan; ranting; rumput.
(b) Peribahasa. Contohnya, besar hati.
(c) Inversi. Contohnya, Elok rupanya kumbang jati; Sebarang tari kita tarikan; Sebarang nyanyi kita nyanyikan.
(d) Asonansi. Contohnya, Tidak terkatakan besar hati (perulangan vokal a).
(e) Aliterasi. Contohnya, Hanyut batang berlilit kumpai (perulangan konsonan b).
(f) Rima akhirnya sama, iaitu abab kecuali rangkap kedua rima akhirnya aaaa.

Nilai dan Pengajaran
Nilai

(a) Kasih sayang.
(b) Tanggungjawab.
(c) Baik hati.
(d) Hormat-menghormati.

Pengajaran
(a) Kita mestilah menyayangi anak-anak.
(b) Kita mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak.
(c) Kita haruslah bersikap pemurah untuk mengukuhkan ikatan antara anggota keluarga.
(d) Kita haruslah menghormati ibu bapa.

Pantun Alam Remaja: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 2

Categories
Pantun

Pantun Dua Kerat

Pantun Dua Kerat: Maksud, Tema & Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk dan Nilai Pengajaran

Maksud
Rangkap 1
Setiap perbuatan dan tindakan yang dilakukan berkait rapat dengan sifat seseorang itu sendiri.

Rangkap 2
Orang yang asyik baring di dalam selimut akan menjadi orang yang kuat tidur.

Rangkap 3
Walaupun diri seseorang itu mempunyai kekurangan, tetapi dia tetap mempunyai keistimewaan atau kelebihan tersendiri.

Rangkap 4
Seseorang yang tidak mahu berusaha atau berikhtiar akan gagal.

Rangkap 5
Kesungguhan dan kecekalan dalam melakukan pelbagai tugas atau kerja.

Tema
Nasihat yang dapat membina diri seseorang ke arah kebaikan.

Persoalan
1) Sifat manusia itu akan terserlah pada setiap perbuatan dan tingkah-lakunya.
2) Orang yang kuat tidur tidak aktif dan tidak produktif.
3) Kekurangan diri bukan penghalang untuk berjaya dan menyumbang sesuatu yang berfaedah.
4) Orang yang malas berusaha tidak akan berjaya untuk memperoleh sesuatu.
5) Inisiatif atau kerja hendaklah dilakukan dengan penuh kesungguhan.
6) Sifat manusia menzahirkan diri sendiri.
7) Orang yang berjaya tidak banyak tidur.
8) Setiap kejayaan mesti dimulakan dengan usaha dan ikhtiar yang penuh komitmen.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
1) Imej alam. Contohnya, pucuk kawa; buah sintang; buah senikul.
2) Repetisi. Contohnya, Satu memegang satu memikul. (baris 2, rangkap 5)
3) Bahasa Arab. Contohnya, wujud; sifat.
4) Asonansi. Contohnya, Sungguh hitam dipandang lawa (perulangan vokal a).
5) Aliterasi. Contohnya, Sarang semut dalam gelap (perulangan bunyi konsonan s).

Bentuk dan Ciri-ciri Pantun
1) Bentuknya terikat.
2) Terdiri daripada lima rangkap.
3) Berisi dua baris serangkap.
4) Bilangan katanya tiga hingga empat patah kata sebaris.
5) Terdiri daripada lapan hingga sebelas suku kata sebaris.
6) Rima akhir bagi setiap rangkap adalah sama, iaitu aa.

Nilai
1) Berhati-hati.
2) Kerajinan.
3) Keredaan.
4) Kesungguhan.
5) Kecekalan.

Pengajaran
1) Kita harus berhati-hati dalam setiap perbuatan dan tindakan kita.
2) Kita harus mengelakkan diri daripada banyak tidur.
3) Kita janganlah kecewa dengan kekurangan diri.
4) Sifat malas hendaklah kita hindari.
5) Kita hendaklah memiliki sifat daya usaha yang tinggi dalam berhadapan dengan cabaran dalam sesuatu usaha.

Pantun Dua Kerat: Muat Turun Nota
Nota Ringkas: Tingkatan 1